|
Harta Pusaka Tidak
Dituntut Cecah RM40b
KUALA LUMPUR 10 Julai 2007
– Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu
pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di
negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini. Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu,
sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu.
“Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang
Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di
bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji,
koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada
harta semua kaum bernilai RM70 juta.
“Masalah ini berbangkit akibat perbalahan keluarga, kurangnya kesedaran
mengenai harta pusaka dan waris sendiri tidak mengetahui wujudnya harta
terbabit mengakibatkan ia tidak dituntut,” katanya semasa merasmikan
Konvensyen Perwarisan Harta Islam 2007 dan Pelancaran Daftar Wasiat
Malaysia di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Rahman Suliman.
Nazri berkata, masalah yang melanda semua kaum ini juga disebabkan masih
ramai yang tidak memahami pentadbiran warisan, pendedahan mengenai
wasiat, hibah (hadiah), pemegang amanah serta pengetahuan pengagihan
harta selepas kematian.
“Faktor ini akan menyebabkan keluarga berbalah, bahkan harta yang
ditinggalkan menjadi punca bencana keluarga sendiri dan paling malang,
ia akan berlarutan hingga satu generasi ke generasi yang lain tanpa
penyelesaian bahkan mungkin tidak dapat diselesaikan kerana membabitkan
waris yang berlapis,” katanya.
Katanya, dalam satu kes yang unik, sebidang tanah berukuran 371.6 meter
persegi (4,000 kaki persegi) di Kampung Baru, di sini mempunyai 100
orang yang berhak terhadapnya dan tidak dapat diselesaikan sehingga
sekarang.
Merugikan:
Nazri berkata, masalah seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan
berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga
meninggalkan masalah dan beban terhadap waris yang berhak.
Sementara itu, beliau memuji langkah proaktif Amanah Raya Berhad
(AmanahRaya), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang mengendalikan
harta pusaka sejak 1921 dengan mencatat peningkatan pengurusan wasiat
Islam dan bukan Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.
AmanahRaya menyelenggarakan 221 wasiat Islam dan 652 wasiat bukan Islam
pada 2004 dan meningkat kepada 666 (Islam) 968 (bukan Islam) pada 2005;
8,284 (Islam) dan 1,589 (bukan Islam) pada 2006 serta 12,152 (Islam) dan
6,187 (bukan Islam) tahun ini.
Beliau berkata, sistem penamaan bagi caruman KWSP, simpanan Tabung Haji,
saham amanah, insurans dan takaful juga perlu dilihat semula dan
diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat sama
ada ia adalah wasiat, hadiah ataupun hanya pemegang amanah.
Katanya, kerajaan bersedia untuk membawa cadangan dan hasil rumusan
konvensyen berkenaan bagi mempercepat dan mempermudahkan pengurusan
harta pusaka dan wasiat ke Kabinet malah ke Parlimen demi manfaat semua
pihak.
Mengenai Daftar Wasiat Malaysia (DWM) yang dilancarkan itu, beliau
berkata, ia akan memudahkan pengurusan dan rekod bagi mereka yang
membuat wasiat untuk menentukan sama ada si mati mempunyai wasiat yang
bertulis ataupun tidak.
Ke atas

|