|
BERITA MUAMALAT
TERKINI DI
LAMAN UTAMA
ARKIB
BERITA/ARTIKEL
Pewarisan Harta
(Wasiat, Hibah, Pusaka)
Perlindungan Harta
(Takaful/Insuran)
Pengembangan Harta
(Bursa Saham, Unit Amanah)
Penyucian Harta
(Zakat, Haji, Umrah, Wakaf)
|
| |
Wasiat
instrumen bijak pengurusan harta
Sumber: Berita Harian
WASIAT adalah instrumen dan mekanisma terbaik kepada pengurusan dan
pentadbiran aset dalam Islam.
Tuntutan berwasiat tidak hanya kepada orang kaya dan berharta, malah
orang miskin dan tidak berkemampuan perlu berwasiat sebelum menghembus
nafas terakhir.
Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta
orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera.
Ini
kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia, termasuk bukan
Islam.
Sekitar tahun 1990-an, kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion
nilai aset umat Islam dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang
rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan
harta yang lemah.
Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan hampir RM40 bilion nilaian
semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan sama.
Situasi genting itu berikutan kelalaian umat Islam mentadbir harta
mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran
berwasiat.
Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak
penting serta dipandang remeh sudah membelenggu umat Islam sejak dulu
lagi hingga di zaman serba moden dan sofistikated ini.
Lantaran itu, ia turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa umat Islam agar mengambil
berat dan tidak lagi memandang ringan mengenai pengurusan dan
pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat
ketika masih hidup lagi.
Islam menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta
secara lebih bijaksana, namun ruang dan peluang berkenaan tidak
digunakan sepenuhnya.
Jika umat Islam masih memandang remeh mengenai penyediaan wasiat ke atas
harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset
tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan.
Kelalaian itu amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya
aset bernilai itu ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat
kepada pihak yang memerlukan atau boleh disalurkan terus ke arah
perkembangan dan kemajuan Islam.
Menurut istilah syarak, wasiat adalah pemberian seseorang kepada orang
lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang
yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia. (Sayyid
Sabiq, 1990)
Sebahagian fuqaha mendefinisikan wasiat sebagai pemberian hak milik
secara sukarela yang dilaksanakan selepas pemberinya meninggal dunia.
Di sini, terdapat perbezaan antara hibah dan wasiat. Pemilikan yang
diperoleh daripada hibah terjadi pada saat itu juga, yakni ketika
pemberinya masih hidup sedangkan pemilikan yang diperoleh daripada
wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat itu.
Di samping itu, hibah berupa barang, sementara wasiat boleh berupa
barang, hutang ataupun manfaat.
Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t
dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas
kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian,
jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan
karib kerabatnya secara ma’ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang
bertakwa.”
Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w pernah
bersabda yang bermaksud: “Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu
yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain
wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya.”
Ibnu Umar berkata: “Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku
mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu
berada di sisiku.” (HR Bukhari dan Muslim).
Terdapat beberapa kelebihan jika kita membuat persediaan awal
menyediakan wasiat sebagai satu daripada proses pengurusan dan
pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita.
Ini adalah kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, cekap dan
profesional dengan kos yang minimum.
Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti
peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan
segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi,
penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan sehingga kepada urusan pelaksanaan
wasiat jika berlaku kematian.
Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar
dengan adanya wasiat yang sah. Ini sudah tentu dapat mengelakkan
berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan
waris yang berhak pada masa depan.
Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB)
dan agensi swasta seperti Amanah Hibah dan Warisan MUKMIN
yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara
profesional dan sistematik.
Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan kerana tidak
dituntut oleh pewaris berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah
seperti rumah dan bangunan, simpanan saham amanah, insurans dan
pelaburan saham syarikat.
Sekiranya keadaan itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia boleh
memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset
berkenaan beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya.
Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat
dan semua pihak hendaklah peka mengenai mentadbir serta mengurus harta
mereka melalui medium wasiat.
Untuk itu, di samping penyediaan wasiat melalui khidmat peguam dan ejen
wasiat bertauliah, maklumat dan langganan khidmat itu boleh didapati
melalui kaedah kursus gaya pos yang membekalkan buku dan cakera padat
video (VCD).
Ke atas

|
|
|
|
|
|