|
Cairkan harta beku
Oleh IKBAL SALAM
Sumber:
Rencana Utusan
KENYATAAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khaled Nordin bahawa
terdapat kes harta pusaka dengan nilai mencecah RM38 bilion masih lagi
tertunggak seharusnya tidak dipandang sepi. Ia lebih menyentuh hati
memandangkan kebanyakan daripada kes tersebut membabitkan harta pusaka
orang-orang Melayu.
Mengikut statistik
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, terdapat lebih enam juta hak
milik tanah yang ada di negara kita. Dianggarkan lebih 1 juta hak milik
tanah tersebut adalah milik orang yang telah mati dan masih lagi belum
dibuat permohonan harta pusaka untuk diturun milik kepada ahli waris
yang layak.
Angka tersebut
membuktikan bahawa masih terdapat banyak lagi hartanah yang pemiliknya
meninggal dunia dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Kesannya, maka
banyaklah tanah-tanah milik orang Melayu yang tidak dapat dimanfaatkan.
Malahan terdapat
tanah pusaka yang terletak di kawasan yang begitu strategik tetapi tidak
dapat dibangunkan memandangkan tanah itu mempunyai bilangan ahli waris
yang menjangkau kepada lebih seratus orang.
Lebih meruncing
lagi ahli-ahli waris itu pula tidak mengenali antara satu sama yang lain
bagi membincangkan masa depan tanah pusaka tersebut.
Akhirnya, hartanah
itu akan terus tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara dan
tidak lagi mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan.
Harta walau dalam
bentuk apa sekali pun merupakan satu elemen penting dalam kehidupan
manusia. Kita sanggup bekerja berhempas pulas siang dan malam memerah
keringat demi mendapatkan harta benda yang ada di muka bumi ini.
Tidak kurang juga
mereka menempuh jalan-jalan tidak halal hingga sanggup bermusuhan dan
berbunuhan demi mendapatkan apa yang mereka anggap sebagai nikmat dunia.
Sebagai umat
terbaik yang dipilih oleh Allah s.w.t, umat Islam seharusnya memastikan
hal-hal berkaitan harta pusaka menjadi sumber untuk merapatkan hubungan
ahli keluarga selepas berlakunya kematian dan bukan sumber untuk menjadi
bahan pertelingkahan sebagaimana yang berlaku dewasa ini.
Berdasarkan
pengalaman penulis sebagai pengamal undang-undang terdapat empat punca
utama berlakunya masalah harta pusaka di kalangan orang Melayu:
Pertamanya,
bukanlah menjadi rahsia di kalangan keluarga Melayu sama ada di bandar
atau di desa untuk berhadapan dengan masalah geran tanah yang tidak
boleh diturun milik akibat daripada masalah kematian berlapis.
Contohnya, pemilik
asal hartanah itu seorang bapa kemudian si bapa itu meninggal dunia
meninggalkan lima orang anak. Belum sempat harta itu dibahagikan kepada
lima orang anak tadi, dua daripadanya pula meninggal dunia menyebabkan
bagi satu geran tanah terdapat tiga atau lebih permohonan harta pusaka
yang perlu dibuat.
Proses pembahagian
pusaka akan menjadi lebih meruncing jika waris-waris yang ditinggalkan
tidak sehaluan menyebabkan wujud masalah pertelingkahan keluarga.
Menjadi semacam
satu kepantangan dalam masyarakat Melayu untuk membuat pembahagian harta
pusaka sebaik sahaja berlaku kematian.
Sebagai contoh jika
si bapa meninggal dunia di sebelah pagi, jarang sekali ahli waris yang
akan berbicara berkaitan harta pusaka si bapa pada majlis kenduri arwah
yang diadakan pada sebelah malamnya.
Alasannya mudah,
waris yang ingin membahagikan harta pusaka dengan cepat akan dianggap
sebagai tamakkan harta atau gilakan kekayaan. Malahan ada pula di
kalangan ahli waris yang secara sinis mendakwa kubur ayah masih merah
dah nak berbicara berkaitan harta pusaka.
Adakah pantang ini
masih perlu diteruskan oleh masyarakat Melayu atau benarkah harta pusaka
hanya boleh dibahagikan selepas 40 hari atau 100 hari atau beberapa
tahun?
Rujukan kepada Ayat
11 Surah An Nisa dengan jelas menyatakan yang mafhumnya selepas
diselesaikan bahagian wasiat hendaklah diselesaikan bahagian hutang dan
kemudiannya dibahagikan mengikut faraid.
Maknanya, sebaik
berlaku kematian ahli-ahli waris hendaklah dengan segera memastikan
apakah harta peninggalan si mati dan kemudiannya menentukan apakah
hutang-hutang yang perlu dijelaskan oleh si mati sama ada hutang itu
pada Allah seperti zakat dan haji atau pada manusia.
Jika masih terdapat
hutang yang belum dijelaskan maka ia perlu diselesaikan segera oleh
waris bagi memastikan si mati tidak lagi menanggung beban hutang
tersebut.
Proses pembahagian
pusaka yang dilakukan pada hari kematian perlu diaplikasikan oleh orang
Melayu atas dua faktor kerana pada hari itulah majoriti ahli waris akan
berkumpul di rumah untuk majlis kenduri tahlil.
Kesempatan itu
perlu diambil untuk berbincang berkaitan harta pusaka si mati dan yang
keduanya, oleh kerana kematian itu masih baru maka elemen kesedihan
lazimnya akan meminimumkan pertelingkahan dalam pembahagian pusaka.
Kedua, terdapat
persepsi di kalangan orang Melayu bahawa oleh kerana telah terdapatnya
hukum faraid maka tidaklah lagi perlu untuk merancang pewarisan harta.
Perlu diingat walaupun pembahagian harta berdasarkan faraid, masih perlu
melalui proses-proses yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau
Pejabat Pusaka Kecil.
Permohonan
pembahagian pusaka ini memerlukan prosedur tertentu seperti pelantikan
Pentadbir sebelum harta pusaka boleh dibahagi-bahagikan. Justeru ramai
di kalangan orang Melayu terlepas pandang dengan tidak melantik
Pentadbir Pusaka mereka semasa hidup. Proses pelantikan pentadbir yang
dibuat dalam wasiat sebenarnya sudah lama dipraktiskan oleh orang bukan
Melayu di negara kita menyebabkan harta pusaka mereka tidak dibekukan
untuk tempoh waktu yang lama.
Kaedah
Dalam keluarga
Melayu terdapat banyak kes di mana anak-anak berebut untuk menjadi
Pentadbir Pusaka dengan anggapan bahawa pentadbir akan dapat menentukan
kaedah pembahagian harta pusaka atau mendapat bahagian yang lebih.
Ada pula kes di mana kesemua anak enggan menjadi
pentadbir harta puska kerana tidak mahu melalui kerumitan dalam proses
permohonan pusaka tersebut. Kesannya, harta pusaka si mati akan
dibekukan untuk tempoh yang lama sedangkan ada ahli waris yang menikmati
hasil pusaka si mati tanpa menyedari ia adalah hak orang lain.
Ketiga, tidak
dinafikan bahawa kaedah perancangan pusaka seperti penulisan wasiat
hibah dan amanah merupakan cerita baru bagi masyarakat kita. Telah
tertanam dalam minda fikiran kita bahawa penulisan wasiat akan disamakan
dengan hampirnya kematian.
Justeru apabila
disebut wasiat, ramai yang merasa fobia kerana ada di kalangan kita
mempunyai alasan ‘umur saya masih muda’ dan ‘budaya saya belum nak
mati’.
Sindrom ini perlu
dibuang jauh dari pemikiran kita memandangkan kematian adalah sesuatu
yang pasti dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Ingatan Allah dalam
ayat 78 Surah An Nisa perlu direnungkan: Di mana sahaja kamu berada,
kematian pasti akan mendapatkan kamu, walaupun di dalam kubu yang kukuh.
Ingatan ini
sesungguhnya benar berlaku apabila kita melihat peristiwa dua orang
sukarelawan Gunung Merapi Indonesia baru-baru ini yang mati rentung
walaupun berjaya memasuki kubu bagi berselindung daripada lahar yang
dimuntahkan oleh gunung berapi itu.
Justeru masyarakat
perlu sentiasa insaf jangan sampai maut sudah di depan pintu baru kita
ingin merancang harta kita.
Keempat,
permasalahan pembahagian harta pusaka di bawah tanah-tanah Felda, Felcra
dan tanah rancangan juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia
kelihatannya menyumbang kepada masalah harta pusaka orang Melayu
memandangkan tanah-tanah rancangan ini memang didominasi oleh orang
Melayu.
Sudah tentulah
hasrat murni kerajaan menyediakan tanah-tanah ini untuk orang Melayu
bagi memastikan kesejahteraan hidup keluarga peneroka ini.
Malangnya terdapat
sekatan-sekatan dalam Seksyen 15(1) Akta Kawasan Berkelompok 1960 yang
membataskan penurunan hak milik tanah kelompok ini sama ada atas
kematian atau pindah milik kepada lebih dari dua orang sahaja.
Ini seringkali
mendatangkan keributan kepada ahli-ahli keluarga peneroka untuk
menentukan siapakah yang layak untuk mewarisi hartanah tersebut. Ini
diburukkan lagi dengan keadaan di mana terdapat peneroka yang telah pula
berpoligami dan semasa hayatnya mengetepikan atau menceraikan terus
isteri pertamanya. Rekod Seksyen Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua
Pengarah Tanah dan Galian menunjukkan 40 peratus daripada tanah-tanah
pusaka di bawah akta ini tidak dapat diselesaikan dengan sempurna.
Kebanyakan dari kes yang diselesaikan pula hanya lebih bersifat
sementara iaitu dengan melantik Pentadbir Harta sahaja. Kajian yang
dibuat di Felda Lurah Bilut Pahang pada tahun 2002 menunjukkan daripada
616 orang peneroka, 322 telah meninggal dunia dan lebih 160 belum
membuat permohonan pusaka.
Terdapat beberapa
kaedah untuk mengatasi masalah ini antaranya ialah merancang pewarisan
harta.
Bagi segelintir
orang Melayu jalan mudah bagi menyimpulkan masalah harta pusaka dalam
keluarga adalah dengan meletakkan kesalahan kepada hukum faraid.
Perlakuan menyalahkan hukum pusaka Islam sebenarnya merupakan
manifestasi kepada kurangnya ilmu orang Islam tentang kaedah penyediaan
perancangan harta pusaka yang dibenarkan oleh syarak bagi melengkapkan
hukum faraid.
Kesempurnaan agama
Islam dapat diperjelaskan lagi dengan adanya kaedah pembahagian harta
seperti Suratcara Hibah, Hadiah, Wasiat, Amanah, Wakaf, Nazar, Sedekah
dan Harta Sepencarian.
Fakta yang selalu
dimaklumkan kepada orang Islam adalah mereka tidak boleh berwasiat
kepada ahli waris dan wasiat tidak boleh melebihi satu pertiga daripada
jumlah harta. Tanpa menafikan fakta tersebut, kita sebenarnya masih
boleh menyediakan wasiat yang berlandaskan hukum syarak dan ia dapat
membantu orang Islam bagi memastikan prosedur-prosedur yang ditetapkan
dalam Undang-Undang Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia dapat
dilaksanakan dengan lebih cepat.
Surat Wasiat
berperanan untuk melancarkan proses mendapatkan Surat Kuasa Probet dari
Mahkamah Tinggi. Wasiat selain daripada pesanan yang bernilai kepada
ahli keluarga juga akan memperincikan jenis-jenis harta yang dimilikki
dan tanggungan hutang seseorang.
Selain dari itu,
elemen yang paling penting dalam wasiat adalah klausa pelantikan
Pentadbir harta yang amanah dan penjagaan bagi anak-anak yang masih
kecil berdasarkan kehendak si pembuat wasiat.
Selain itu, pindaan
peruntukan Undang-Undang Pentadbiran Pusaka juga membantu menyelesaikan
masalah wasiat tertunggak.
Dalam keadaan
sekarang masalah harta pusaka orang Islam masih lagi berada di dalam
bidang kuasa Mahkamah Sivil/Pejabat Pusaka Kecil. Bagaimanapun mereka
masih perlu ke Mahkamah Syariah bagi proses pengambilan Sijil Faraid.
Jelasnya, apabila berlaku kematian waris-waris bagi kepada si mati yang
beragama Islam perlu pergi ke Mahkamah Sivil dan Syariah.
Langkah-langkah
perlu dibuat bagi memudahkan proses pembahagian harta pusaka ini bagi
orang Islam tanpa perlu menunggu perintah dari dua mahkamah yang berbeza.
Ia boleh berlaku sama ada kesemua perintah harta pusaka orang Islam
dipindahkan ke Mahkamah Syariah sepenuhnya ataupun sebagai pilihan
Mahkamah Sivil sendiri boleh mempunyai bahagian khas yang membicarakan
sepenuhnya permohonan harta pusaka orang Islam dan diberikan hak
mengeluarkan Sijil Faraid tanpa perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah.
Walaupun langkah
ini hanya boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, kita
seharusnya terfikir jika harta pusaka orang bukan Islam dibicarakan pada
satu mahkamah sahaja mengapa pula orang-orang Islam perlu hadir ke
dwimahkamah untuk mendapatkan perintah yang sama.
Penulis berpendapat
jika kita ingin memartabatkan Mahkamah Syariah kita harus memberi ruang
kepada Mahkamah Syariah untuk memperoleh bidang kuasa bagi membicarakan
kes-kes harta pusaka orang Islam. Sama ada sedar atau tidak, jika
mahkamah syariah mempunyai lebih bidang kuasa maka akan lebih
dimartabatkan mahkamah itu kelak.
Penubuhan Yayasan
Keluarga juga perlu untuk memastikan urusan pembahagian harta pusaka
berjalan lancar.
Bagi tanah-tanah
orang Melayu yang mempunyai ahli waris yang ramai hingga menjadikan
tidak praktikal untuk memasukkan kesemua nama waris di dalam satu geran
adalah baik jika masyarakat kita dapat memulakan penubuhan Yayasan
Keluarga. Yayasan ini ditubuhkan dengan objektif untuk menerima
pemilikan semua harta-harta milik si mati yang mana ahli-ahlinya terdiri
daripada ahli waris si mati. Yayasan boleh ditubuhkan oleh seseorang
semasa hayatnya dan harta-hartanya dipindahkan kepada nama Yayasan
semasa pemilik harta itu masih hidup ataupun ditubuhkan oleh ahli-ahli
waris selepas kematian seseorang.
Pemilikan atas nama
yayasan akan mengelakkan nama di atas geran tanah didaftarkan atas nama
ahli waris yang ramai. Yayasan Keluarga seumpama ini berfungsi untuk
menjaga kebajikan dan pendidikan ahli-ahlinya melalui hasil yang
diperoleh dari harta warisan dan dalam masa yang sama dapat
memperuntukkan bahagian harta kepada arwah ibu dan bapa yang telah
meninggal dunia untuk tujuan sedekah jariah atas nama arwah ibu dan bapa
tadi. Alangkah baiknya jika pihak Felda atau Felcra dapat menggalakkan
ahli waris peneroka yang tidak pasti untuk melantik dua pentadbir tadi,
dapat mengguna pakai kaedah Yayasan Keluarga Peneroka untuk setiap
peneroka bagi memastikan harta pusaka peneroka dapat diturun milik
kepada hanya satu badan yang menjaga kepentingan seluruh ahli waris.
Orang Melayu masih
lagi tertinggal dari segi ekuiti pemilikan harta di negara kita.
Sudahlah begitu kita masih mendahului kaum lain dari segi pemilikan
harta yang dibekukan. Sudah tiba masanya permasalahan harta pusaka umat
Islam ditangani dengan lebih serius dan sempurna sebelum ia menjadi
begitu terlewat.
Tegasnya, proses
penyusunan penurunan harta yang sempurna bukan sahaja akan dapat menjaga
kebajikan dan kemaslahatan ahli keluarga yang ditinggalkan bahkan dapat
memastikan harta yang telah diusahakan dengan jerit perih semasa hidup
tidak akan menjadi bahan pertelingkahan antara kaum kerabat.
Ke atas

|