|
BERITA MUAMALAT
TERKINI DI
LAMAN UTAMA
ARKIB
BERITA/ARTIKEL
Pewarisan Harta
(Wasiat, Hibah, Pusaka)
Perlindungan Harta
(Takaful/Insuran)
Pengembangan Harta
(Bursa Saham, Unit Amanah)
Penyucian Harta
(Zakat, Haji, Umrah, Wakaf)
|
| |
Dr Sheikh Muzaphar Tinggalkan Surat Untuk
Ibu Bapa Sebelum Ke Angkasa
Sumber: BERNAMA
Daripada: Abdul Rahman Ahmad
BAIKONUR,
(KAZAKHSTAN), 11 Oktober - Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh
Mustapha yang berlepas ke angkasa malam tadi telah meninggalkan wasiat
dalam tiga pucuk surat untuk ibu bapanya sebagai peringatan jika apa-apa
berlaku kepadanya sepanjang misi itu.
Ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad berkata surat itu diserahkan
kepadanya ketika beliau dan suaminya berada di dalam bas untuk
menyaksikan pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa Dr Sheikh
Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
"Surat itu macam wasiat, dia meminta maaf, katanya beliau sayangkan kami
berdua dan adik-adiknya dan jika ada apa-apa berlaku semua, salah dan
silap minta dimaafkan," katanya dengan linangan air mata.
Dr Sheikh Muszaphar Shukor, berangkat dari Cosmodrome, Baikonur di sini
pada 7.21 malam waktu tempatan (9.21 waktu Malaysia) untuk menjalani
misi ke angkasa itu bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat
dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia.
Zuraidah berkata anaknya itu juga turut meminta supaya didoakan dia
pergi dan balik dengan selamatnya.
Ketika menceritakan detik-detik pelancaran roket itu, Zuraidah berkata
beliau menangis sekuat-kuatnya kerana tidak tahan sebak melihat anaknya
berlepas.
"Saya juga takut kerana melihat api yang keluar begitu kuat daripada
corong bawah roket berkenaan, itu amat menakutkan, " katanya.
Bagaimanapun selepas melihat roket itu berada di angkasa dengan selamat,
Zuraidah mengakui merasa amat lega.
Bapanya Datuk Sheikh Mustafa Sheikh Shukor berkata perasaan takut turut
menyelubungi dirinya apabila melihat roket itu dilancarkan.
"Saya takut kerana apa-apa boleh berlaku walaupun saya sudah bersedia
menghadapi apa jua keadaan. Ini kerana dia sudah dilatih lebih setahun,"
katanya.
Bagaimanapun, beliau gembira impian anaknya tercapai akhirnya, malah
anaknya telah memaklumkan kepadanya bahawa dia akan terus terlibat dalam
program angkasawan sekembalinya dari angkasa.
Sementara itu ibu kepada Kapt Dr Faiz Khaleed, Maznah Mohamed berkata
beliau merasa gembira dan berharap Dr Sheikh Muszaphar akan pergi dan
kembali dengan selamatnya.
"Saya doa dan harapkan dia dapat membuat yang terbaik untuk negara,"
katanya.
Mengenai cadangan anaknya dilibatkan dalam misi angkasa akan datang,
Maznah berkata itu terpulang kepada Dr Faiz dan sebagai ibu, beliau akan
menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh anaknya nanti.
Agensi Angkasa Rusia (Rosmoscos) telah membuat keputusan pada Selasa
untuk Dr Faiz menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009.
-- BERNAMA
Ke atas

|
|
|
|
|
|