| |
Peguam Syarie Menulis:
Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris
Oleh
Mohd NoorAizan Md Idrus
Sumber: Berita Harian – 24/10/2007
ELEMEN penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau
Al-Qabd. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasai dan boleh
melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.
Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah menjadi sempurna apabila
berlaku al-qabd atau penerimaan barang oleh penerima. Ia bermakna lafaz
ijab oleh penghibah dan lafaz kabul oleh penerima saja tidak memadai
untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna.
Contohnya, Ali menghibahkan keretanya kepada Ahmad dengan lafaz: "Aku
beri kereta ini kepada kamu", lalu dijawab oleh Ahmad, "Baiklah aku
terima." Tetapi kereta itu tidak diserahkan kepada Ahmad.
Hibah
masih belum sah sehingga kereta itu diberi kepada Ahmad. Walaupun geran
kereta berkenaan masih di atas nama Ali, namun Ahmad adalah pemunya
kereta selepas hibah itu sempurna.
Persoalan sering ditimbulkan adalah bolehkah pemberi hibah menarik balik
hibah yang sudah dibuat? Mengikut Mazhab Syafie, pemberi hibah berhak
menarik balik hibah jika belum berlaku serahan barang hibah kepada
penerima hibah.
Bagaimanapun, jika sesuatu hibah sudah sempurna dilaksanakan, fuqaha'
berbeza pendapat dalam menentukan hukumnya. Mazhab Syafie dan Hambali
berpendapat pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah itu, kecuali
hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menarik balik
hibahnya sama seperti orang yang menjilat muntahnya sendiri."
Persoalan bolehkah seseorang sakit tenat atau nazak membuat hibah?
Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya
membahagi harta iaitu rumah kepada anak pertama dan tanah kepada anak
kedua. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah,
adakah sah dilaksanakan?
Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang
boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum
mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat.
Jika ayah tadi meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku,
maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu
hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada
harta si mati dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris
penghibah/simati.
Dalam
kes di atas, penerima hibah adalah waris, maka hibah yang sudah menjadi
wasiat itu hanya boleh dilaksanakan jika semua waris yang lain bersetuju
dengan hibah berkenaan. Tetapi, jika ayah tadi masih hidup dan pulih
selepas itu, hibah adalah sah selepas rukun dan syaratnya dipenuhi.
Bolehkah ahli waris membantah hibah yang dibuat selepas pemberi hibah
meninggal dunia? Contohnya, seorang ibu tunggal memberi tanah kepada
anak angkatnya tanpa memberitahu anak kandungnya yang lain sebelum dia
meninggal dunia.
Kes seperti ini banyak berlaku dan ia mewujudkan perpecahan di kalangan
waris, lebih-lebih lagi jika hibah itu dibuat secara lisan. Sebab itu,
kita menyarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk
dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui
wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan
kejadian fitnah memfitnah antara waris.
Secara asasnya sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak
kira sama ada hibah dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk
dokumen oleh individu, peguam atau firma berautoriti. Bagaimanapun, ia
hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum
syarak atau jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah
itu selepas pemberi hibah meninggal dunia.
Pertikaian seperti di atas berlaku kerana harta yang dihibah masih di
atas nama pemberi hibah pada masa penghibah meninggal dunia. Secara
asalnya, menurut undang-undang, harta itu adalah milik arwah melainkan
penerima hibah dapat membuktikan harta itu dihibah kepadanya.
Perkara inilah menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah
Syariah. Jika pemberi hibah menghibahkan sesuatu harta dengan terus
menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama penerima hibah,
ia tidak menjadi pertikaian.
Segala-galanya sudah jelas, harta itu bertukar milik kepada penerima
hibah seperti tertulis di dalam dokumen hak milik. Jika tidak, amalan
hibah yang dibuat pada masa itu perlu disahkan Mahkamah Syariah sebelum
boleh dilaksanakan.
Dalam kes Eshah Abdullah dan Lima Yang Lain lawan Che Aminah Abdul Razak
dan Dua Yang Lain (J.H bhg 2, Rejab 1425), Mahkamah Rayuan Syariah
Terengganu ketika menerima rayuan perayu membuat ulasan seperti berikut:
"Diandaikan jika bangunan itu sudah bertukar kepada nama penerima,
kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa ke mahkamah, kerana
segala-galanya sudah jelas dan tercatat dalam dokumen."
Mahkamah dalam kes itu juga memutuskan bahawa penerimaan hasil sewa
bangunan berkenaan oleh penerima hibah adalah qarinah, wujudnya al-qabd
atau penerimaan oleh penerima hibah.
Justeru, dinasihatkan sesiapa bercadang untuk membuat hibah supaya terus
menukar nama kepada penerima hibah dalam dokumen hak milik harta atau
sekurang-kurangnya menandatangani borang pemindahan/penukaran hak milik
untuk kemudahan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, bagi harta yang sukar untuk dibuat pemindahan hak milik,
hibah seharusnya dibuat secara bertulis dan disaksikan oleh saksi atau
dimaklumkan kepada keluarga untuk mengelakkan berlakunya salah faham di
kemudian hari.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie
Malaysia (PGSM).
Ke atas

|
|