| |
Negeri
dicadang guna faraid
BERITA
HARIAN – 2/11/2007
KERAJAAN negeri disyor mengguna pakai undang-undang faraid dalam
pembahagian harta pusaka dan mengambil langkah memupuk kesedaran umat
Islam mengenai kepentingan waris membuat tuntutan itu.
Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah,
berkata Kerajaan Persekutuan belum ada penyelarasan mengenai
undang-undang Faraid kerana isu berkaitan agama dalam bidang kuasa
negeri.
"Kerajaan sudah melipatgandakan usaha menyedarkan waris pemilik harta
pusaka supaya jangan melengahkan tuntutan kerana harta pusaka bernilai
lebih RM40 bilion belum dituntut setakat ini, termasuk RM38 bilion aset
milik masyarakat Melayu.
"Bagi
meningkatkan kesedaran umum, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian
mengadakan seminar dan Dialog Harta Pusaka supaya orang ramai mengambil
inisiatif menyegerakan permohonan harta pusaka sebaik berlaku kematian
pemilik harta.
"Menerusi usaha itu, waris diberi penjelasan mengenai potensi tanah
pusaka yang mempunyai nilai komersial untuk dimajukan bagi manfaat
anggota keluarga," katanya menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang).
Sepanjang tahun ini, enam seminar dan dialog dirancang termasuk empat
yang sudah dilaksana selain 103 program turun padang Sehari Bersama
Waris pada peringkat daerah, khususnya dengan kerjasama penghulu dan
pemimpin masyarakat setempat.
Tahun
lalu, 31,377 kes tuntutan harta pusaka difailkan dan setakat 31 Ogos
lalu, 28,125 kes didaftarkan, manakala tahun depan, tuntutan harta
pusaka dijangka meningkat sehingga 42,187 kes.
Sazmi berkata, kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang
mewajibkan waris membuat wasiat kerana tidak praktikal untuk mendakwa
mereka.
Ke atas

|
|