|
Soal Jawab Pusaka: Tidak
rela bapa dapat pusaka
Utusan – 27/2/2009
Soalan
Saya seorang wanita berkerjaya berumur 47 tahun.
Saya tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu dan seorang anak angkat
perempuan berumur lapan tahun. Tiga bulan yang lepas, saya telah
disahkan mengidap penyakit kanser. Doktor memberi saya anggaran tempoh
hayat selama enam bulan ke satu tahun.
Persoalan
saya adalah mengenai isu pembahagian harta selepas saya meninggal dunia
kelak. Untuk pengetahuan, bapa saya masih hidup dan saya merupakan anak
tunggal. Namun, kami tidak mempunyai perhubungan yang baik. Bapa telah
meninggalkan ibu semasa saya masih kecil. Saya tidak mahu harta saya
dibahagikan kepada bapa yang tidak bertanggungjawab atau adik-beradik
tiri yang langsung tidak pernah mengambil peduli tentang saya atau ibu
selama ini. Bagaimanakah saya boleh memastikan ibu dan anak angkat saya
akan menerima harta peninggalan saya sepenuhnya.
Ummi
Kalsom
Perlis
Indra Kayangan
Jawapan
Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak
dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan
apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut
pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu
cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam
surah al-Nisaa' menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak
dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.
Merujuk
kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini
yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke
atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang
gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang
ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna
rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang
dan wasiat.
Setelah
diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan
menurut hukum faraid.
Dalam
kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan
atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah
pemberiannya sudah mati.
Pemberian
wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3
bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak
berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau
kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum
Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat
ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.
Legaliti
dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah SWT dalam surah
Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: " di wajibkan ke atas kamu,
apabila seseorang di atas kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia
meninggalkan harta yang banyak, berwasiat lah untuk ibu dan bapa dan
karib kerabatnya secara ma'ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang
bertakwa"
Merujuk
kepada soalan saudari iaitu mengenai pembahagian harta kepada anak
angkat. Anak angkat saudari bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam
hukum faraid.
Oleh itu,
saudari bolehlah mewasiatkan harta-harta saudari yang nilainya tidak
melebihi satu pertiga nilai jumlah keseluruhan kepada anak angkat
tersebut.
Manakala,
bahagian untuk ibu saudari ditetapkan melalui pembahagian harta secara
faraid. Secara amnya, nisbah pembahagian harta pusaka menurut hukum
faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah syariah melalui suatu
sijil faraid dalam setiap kes.
Manakala
kaedah kedua adalah melalui pemberian harta tersebut secara hibah. Hukum
Syarak menetapkan tiga rukun yang mesti dipatuhi dalam pemberian harta
secara hibah. Rukun-rukun tersebut adalah seperti berikut:-
1.
pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan
penerima hibah (mawhub lahu),
2. lafaz
terhadap hibah tersebut (merangkumi perjanjian atau pengakuan)
3. barang
atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).
Saudari
boleh memperuntukan harta tersebut kepada ibu dan anak angkat saudari
melalui kaedah hibah tersebut.
Hibah
boleh disempurnakan semasa saudari masih hidup, berbeza dengan wasiat di
mana ia sempurna dari segi perlaksanaannya apabila pemberi wasiat
meninggal dunia.
Oleh itu,
saudari bolehlah memindahkan harta-harta tersebut kepada ibu atau anak
angkat semasa hayat saudari masih ada secara hibah seperti yang telah
dinyatakan di atas.
Proses
pindah milik harta-harta tersebut ini boleh dilakukan dalam beberapa
cara. Contohnya, jika saudari memiliki harta seperti tanah, saudari
boleh memindahkan tanah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di
bawah Kanun Tanah Negara 1965. Melalui proses ini, waris-waris saudari
yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda saudari kelak.
Sebarang
maklumat lanjut, saudari boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudari
masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar
mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat
Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat
berhubung dengan prosedur tersebut.
Nota Kaki Warisan MUKMIN:
Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui Rakan-Rakan Perunding
Warisan MUKMIN di seluruh negara atau terus ke ibu pejabat Warisan
MUKMIN, tel: 03-5512 5886 atau emel:
info@warisanmukmin.com
Ke atas

|