Perbadanan
Kampung Baru diwujud
Utusan Online -
04/03/2009
KUALA LUMPUR
- Kerajaan akan mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bagi
memajukan penempatan orang Melayu itu yang terletak di tengah-tengah
bandar raya Kuala Lumpur.
Menteri
Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, butir-butir
lengkap mengenai perbadanan itu akan didedahkan kepada umum setelah
Pelan Pembangunan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan
Kuala Lumpur 2020 diwartakan.
''Perbadanan
ini akan diletakkan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan
maklumat lengkap akan didedahkan setelah pelan berkenaan dipersetujui
semua pihak," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih
titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat kementeriannya pada
sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut
Zulhasnan, kerajaan juga telah menubuhkan Unit Khas Pembangunan Kampung
Baru yang dianggotai pegawai DBKL, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan kementerian itu.
Katanya,
tujuan utama penubuhan unit itu ialah untuk menyelesaikan isu-isu
berkaitan pemilikan tanah di Kampung Baru.
''Antara
masalah lain yang akan diatasi ialah pertukaran nama pada geran, masalah
pindah milik dan waris meninggal dunia," katanya.
Tambah beliau,
kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan tapak pasar
minggu di Kampung Baru.
''Peruntukan
ini juga akan digunakan bagi meningkatkan rangkaian jalan raya yang
menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak," jelasnya.
Dalam pada
itu, menjawab celahan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa)
ketika penggulungan itu, beliau berkata, tiada sebarang rancangan untuk
melantik Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sebagai pemaju bagi
membangunkan Kampung Baru.
Ke atas

|