| |
Kaunselor Anda: Mentua rampas harta
peninggalan suami
bersama
Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my
Keluarga arwah suami tidak mahu membuat faraid kerana
khuatir harta diwarisi menantu dan cucu lelakinya
Soalan:
SAYA seorang janda berusia 24 tahun yang kematian suami. Saya makan
hati dengan keluarga arwah suami. Saya adalah menantu perempuan sulung
keluarga arwah suami. Saya bersama arwah mendirikan rumah tangga pada
hujung tahun 2007 dengan restu kedua-dua ibu bapa kami. Suami saya baru
meninggal dunia lima bulan lalu dalam kemalangan ketika pulang dari
kerja. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung.
Pada hari itu, ketika jenazah belum sampai di rumah, keluarga arwah
sudah mengira harta suami. Hati saya hancur dengan sikap mereka,
tambahan ibu mentua menyatakan saya hanya bernikah dengan anaknya selama
10 bulan, sedangkan dia menjaga anaknya ketika kakinya masih merah.
Bayangkan betapa pedihnya hati saya sebagai isteri.
Hari demi hari keluarga arwah merampas semua harta
peninggalan suami untuk saya dan anak, yang juga darah daging mereka
sendiri. Malah, ibu mentua pernah menyatakan tidak akan menyerahkan satu
sen pun peninggalan suami kepada saya. Namun, saya berikhtiar untuk
mencari jalan untuk membahagikan harta peninggalan mengikut hukum syarak
sebagai seorang Islam.
Sekali lagi saya ditentang oleh ibu mentua, mereka tidak mahu membuat
faraid kerana khuatir harta itu diwarisi anak lelaki kami. Ikutkan hati,
saya tidak mahu menyakiti hati ibu mentua dan keluarganya kerana mereka
bagaikan ibu bapa saya sendiri. Kini saya buntu puan, hanya kecekalan
hati dan ketabahan dalam diri ini saya reda dengan ketentuan Ilahi.
Mungkin Allah sedang menguji saya sebagai hamba-Nya di muka bumi ini.
Kini saya hanya ingin membesarkan anak saya dan mendidiknya sehingga
menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Namun, saya ingin
memperjuangkan hak anak saya. Puan bantulah saya untuk menghadapi
situasi begini.
Dewi Permata
Jawapan:
JODOH pertemuan dan ajal maut memang di tangan Tuhan, namun Tuhan tidak
membenarkan kita untuk hanya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa
usaha. Tuhan sudah berjanji tidak akan mengubah nasib kita selagi kita
tidak berusaha mengubahnya.
Dalam proses ini kita tidak dibenarkan menimbulkan pergaduhan dan
perselisihan yang melanggar hukum adat kehidupan. Dalam keadaan anda
sekarang, anda harus jelas dan pasti apa jenis harta yang ditinggalkan
oleh arwah suami. Jika benar-benar ada yang berbaloi dituntut seperti
kereta, rumah, simpanan atau disebut harta tetap dan harta mudah alih
yang perlu dituntut, anda boleh menuntutnya di mahkamah mengikut
undang-undang. Ini adalah prosedur biasa. Buat laporan dan kemukakan
tuntutan anda secara rasmi.
Tapi jika harta itu hanya barang peribadi milik arwah yang mudah alih
dan luput seperti pakaian, rasanya tidak perlulah dikecohkan kerana
menghormati roh arwah yang sedang di alam barzakh agar damai dan
tenteram. Apatah lagi jika anda tidak tinggal serumah atau berdekatan
dengan mentua. Jangan sampai kerana peninggalan yang sedikit ini akan
meretakkan hubungan anda dengan nenek kepada anak anda.
Jika difikirkan secara sihat, anda sedang memiliki peninggalan arwah
yang paling mahal dan paling penting iaitu waris keturunannya yang akan
menjadi pelindung, penawar dan talian hayat anda ke syurga nanti iaitu
anaknya. Inilah hadiah teragung daripada seorang suami. Pada pandangan
Umi, jagalah harta termahal ini. Dengan penuh kasih sayang dan usaha
yang gigih dan keyakinan yang tinggi bahawa setiap anak yang lahir itu
ada rezekinya, maka berusahalah untuk berdikari mencari rezeki dari
Allah untuk hidup bersama anak anda, pasti anda akan berasa puas dengan
peninggalan suami anda yang satu-satunya ini. Yakinlah, ada masa depan
cerah untuk anda dan anak yang disediakan Allah. Biarlah apa yang
dilakukan oleh ibu mentua anda itu sebagai pengajaran untuk anda tidak
melakukannya kepada orang lain nanti.
Tidak ada
harga yang kekal dan mencukupi selamanya, pasti akan habis jua. Lagipun,
harta pusaka jika disalah gunakan akan menimbulkan kesan negatif pada
pemiliknya. Serahkan rezeki anda dan anak kepada Allah dengan keyakinan
bahawa telah ditakdirkan Allah tidak akan ada orang lain yang akan
mengambil rezeki yang telah ditetapkan untuk kita.
Jika ini anda yakini anda tidak akan tamak kepada peninggalan arwah
suami atau mana-mana harta yang menggoda kita. Laluilah dengan tenang
agar anak anda menikmati kasih sayang anda sepenuhnya, kerana dia sudah
kehilangan satu kasih sayang yang sangat mahal. Umi juga ingin berpesan
anda sedang memelihara anak hebat, iaitu anak yatim. Siapa yang memakan
harta anak yatim akan sulit hidupnya, malah haram hukumnya jika
diperlakukan secara tidak adil.
Oleh itu rawatlah emosi anda dengan baik kerana kehilangan orang
tercinta membuat anda mengalami goncangan yang kuat di jiwa. Allah
berpesan, ....jangan berduka terhadap apa yang luput daripada kamu, dan
supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya
kepada mu (QS Al: Hadid:23) dan dipesan Rasulullah SAW “sesungguhnya
kesabaran itu ada pada hentakan pertama.”
Dari pesanan ini jelas sesiapa yang mampu menguasai perasaan dalam
setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka
dialah orang yang benar-benar memiliki kekukuhan iman dan keteguhan
keyakinan. Maka laluilah hidup anda seadanya sebagai hamba Allah.
Ke atas

|
|