Utusan Malaysia -
16/04/2009
Derma organ
diharuskan - Fatwa
JOHOR BAHRU 15
April - Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum pendermaan organ adalah
diharuskan dalam keadaan darurat iaitu apabila diperlukan.
Mufti Johor,
Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin berkata, fatwa tersebut menetapkan garis
panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan dilakukan dan ia
berdasarkan keadaan penderma, sama ada masih hidup atau telah mati.
Memandangkan
pendaftaran pemindahan organ di negara ini hanya membabitkan golongan
penderma yang telah mati, justeru hanya topik golongan tersebut yang
akan dikupas.
Mohd. Tahrir
berkata, bagi penderma yang telah meninggal dunia, enam aspek perlu
diambil kira sebelum pemindahan organ dijalankan.
Pertama,
katanya, perlu terlebih dahulu dijalankan pemeriksaan perubatan secara
profesional tentang kebaikan, keburukan, kejayaan dan kegagalan
pemindahan organ.
Kedua,
dilaksanakan dengan kerelaan penderma, melalui wasiat atau waris-waris
dan perakuan daripada kerajaan.
Ketiga,
dijalankan setelah dipastikan pemindahan itu secara lazimnya akan
berjaya.
Keempat,
pemindahan itu dilakukan dengan penuh disiplin ilmu, iman dan takwa,
dengan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada si mati mengikut
hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan.
''Ia juga
diharuskan apabila darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang
yang didermakan kepadanya, terutamanya yang ada hubungan nasab dan
keluarga.
''Selain itu,
organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan untuk kegiatan
jual-beli," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Sementara itu,
Mohd. Tahrir berkata, orang yang mati otak adalah dihukumkan sebagai
telah mati dan pemindahan organ juga diharuskan dalam keadaan darurat.
Bagaimanapun,
katanya, pemeriksaan perubatan secara profesional perlu dilakukan
terlebih dahulu bagi memastikan individu itu telah mati otak.
''Perakuan
tentang berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-kurangnya
dua doktor profesional, sebaik-baiknya doktor beragama Islam,'' katanya.
Menurut Mohd.
Tahrir, sebelum pemindahan organ di dalam kes mati otak dijalankan,
adalah digalakkan untuk mendapatkan persetujuan daripada keluarga
terdekat seperti suami, isteri, anak, ibu dan bapa.
Ke atas

|