Bahaya
lewat urus harta pusaka
Utusan Malaysia -
05/05/2009
TANGGAPAN di
kalangan masyarakat Melayu bahawa pengurusan harta pusaka hanya boleh
diselesaikan melalui hukum faraid sahaja adalah antara penyebab utama
berlakunya kelewatan pembahagian yang membawa kepada pertelingkahan
sesama waris.
Kelewatan
urusan pembahagian harta pusaka itu bukan sahaja akan mendorong
berlakunya krisis dalam institusi kekeluargaan tetapi ia akan menyebabkan
harta itu terutamanya hartanah akan menjadi statik dan tidak memberikan
pulangan ekonomi yang sepatutnya.
Keadaan akan
menjadi lebih serius lagi apabila pihak-pihak yang bertelagah mengambil
jalan singkat dengan mengambil keputusan menjualkannya bagi membolehkan
hasil jualan diagih-agihkan sesama mereka.
Apabila
perkara ini berlaku, ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan permasalahan
utama malah ia akan membawa kepada masalah jangka masa panjang yang
lebih serius, bila mana hak milik harta itu berpindah ke tangan pihak
ketiga dan wujudnya salah faham sesama mereka yang tidak berpuas hati
dengan ganjaran yang diperoleh.
Segala
kemelut ini mampu ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat Melayu
itu sendiri membuat perancangan awal dengan mengurus tadbir harta mereka
secara teratur dan sistematik sebelum meninggal dunia.
Mengimbas
kembali apa yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu,
secara asasnya terdapat tiga mekanisme utama yang diguna pakai apabila
menyentuh soal pengagihan harta pusaka iaitu hukum faraid, hukum adat
dan wasiat.
> Hukum
faraid - pembahagian harta mengikut syariat Islam berdasarkan kepada
hierarki waris.
> Hukum adat
- amalan tradisi sejak berzaman lamanya yang ditentukan kepada konsep
tolak ansur dan persefahaman antara waris.
> Wasiat -
yang paling jarang diamalkan dan ia berdasarkan kepada peraturan
tertentu.
Perlu diakui
walaupun pahit, isu pembahagian harta pusaka merupakan suatu perkara
yang amat sensitif kerana lazimnya terdapat dua tabiat buruk di kalangan
Melayu Islam iaitu tabiat membolot kesemua harta pusaka dan tidak
menghiraukan urusan pewarisan harta pusaka itu sendiri.
Gejala buruk
ini wajar dihentikan kerana ia langsung tidak mendatangkan faedah kepada
para warisnya, walaupun sekelumit.
Lebih
menakutkan lagi apabila pemilik asal harta yang sedang bersemadi akan
terus terseksa selama mana urusan pembahagian yang sepatutnya selesai
secara aman dan harmoni, tidak menemui penyelesaiannya sehingga
bertahun-tahun dan warisnya pula asyik bergaduh sesama sendiri.
Masalah
tersebut tidak akan timbul sekiranya masyarakat sedar kepentingan
menulis surat wasiat tetapi hakikatnya ramai orang Islam menganggap
bahawa mereka tidak memerlukan wasiat kerana kewujudan hukum faraid -
tanggapan ini ternyata silap.
Kaedah
penulisan wasiat juga sebenarnya mampu mengatasi semua permasalahan itu
kerana ia mampu membezakan antara harta pusaka dan pemberian atau hibah.
Ini kerana wasiat pengagihan harta ditentukan semasa pemilik masih lagi
hidup.
Kelebihan
menulis surat wasiat antara lain mampu mempercepatkan proses surat kuasa
pusaka, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik
wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat Melayu yang
beranggapan apabila harta-harta diagihkan terlebih dahulu sebelum mereka
meninggal dunia akan menyebabkan kebarangkalian untuk anak-anak mengabai
dan menyisihkan mereka.
Jadi, dalam
usaha memastikan kedudukan mereka daripada terkena sindrom dihantar ke
rumah orang tua oleh anak-anak yang tidak berperasaan dan tidak
mengenang budi.
Mereka kebanyakannya
akan memilih jalan penyelesaian popular iaitu menyerahkan bulat-bulat
kepada waris masing-masing untuk menyelesaikan segala kemelut sesama
sendiri apabila mereka meninggal dunia kelak.
Para ibu bapa perlu
bertanggungjawab mengelak waris-warisnya daripada pergaduhan sesama
sendiri.
Pada masa inilah,
perlunya peranan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai badan bebas untuk
mengendalikan dan menguruskan harta pusaka.
ARB, syarikat milik
penuh kerajaan, dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya
dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1921
dan diperbadankan pada tahun 1995.
Selain menawarkan
pelbagai produk dan perkhidmatan seperti pentadbiran harta pusaka,
pentadbiran harta amanah dan pemegang amanah bagi tabung-tabung harta
amanah, ARB juga menawarkan khidmat nasihat dan panduan mengenai
pembahagian dan pengurusan harta.
Ke atas

|