| |
Lelaki
mati ditetak rebut pusaka
JOHOR BAHRU: Seorang
lelaki mati ditetak dengan parang selepas bergaduh dipercayai akibat
perebutan harta pusaka di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nenas, dekat
Pontian, di sini, hari ini.
Tahir Zainal, 41, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Muzammil Hashim, ketika
dihubungi berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi
membantu siasatan.
Beliau
berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1.30 petang di rumah pusaka
arwah ibu mangsa, Tahir dan isterinya ke sana untuk menyelesaikan
masalah harta pusaka bersama dua saudara terdekatnya.
"Tahir yang berang apabila pintu rumah itu berkunci bertindak mengambil
kuku kambing dari keretanya untuk memecahkan pintu rumah dan apabila
gagal dia mengambil kapak untuk cuba membuka pintu sambil memarahi dan
mencabar saudara-saudara terdekatnya itu," katanya.
Beliau berkata, tindakan Tahir menyebabkan seorang saudara terdekatnya
itu bertindak mengambil sebilah parang dan sebatang tajak kelapa sawit
sebelum pergi ke arah Tahir yang ketika itu bergerak ke bahagian tepi
rumah untuk memecahkan pintu belakang.
"Apabila
dia menghampiri Tahir, Tahir bertindak menyerang lelaki itu dengan kuku
kambing menyebabkan lelaki terbabit menghayunkan parang menetak sebelah
kiri badan Tahir," katanya.
Muzammil berkata, lelaki terbabit kemudian menghubungi polis dan
ambulans.
-
Bernama
Ke atas

|
|