Sunat wasiat untuk
berwakaf
Utusan Malaysia -
5/06/2009
Soalan:
Ibu saya bercadang mewakafkan rumahnya dan sebahagian daripada hartanya
melalui wasiat tetapi ragu-ragu adakah ia dibenarkan dalam hukum.
Jawapan:
Wasiat sebegini harus
dalam Islam, malahan hukum berwakaf adalah sunat. Lebih-lebih lagi umat
Islam yang daif yang amat memerlukan bantuan saudara-saudara Islam yang
lain.
Kita juga perlu yakin
bahawa salah satu alternatif bagi memulih dan mengekalkan kepesatan
kewangan Islam ialah melalui cara berwakaf.
Di awal perkembangan
Islam golongan korporat dari kalangan sahabat telah mewakafkan
sebahagian besar dari harta mereka untuk tujuan pengembangan Islam.
Natijahnya hari ini, terdapaat hampir 1.7 bilion umat Islam di seluruh
dunia.
Niat dan tujuan ibu
untuk mewakafkan rumah dan sebahagian hartanya adalah langkah yang
sangat baik, kerana manfaatnya bukan sahaja di dunia. Malahan pahalanya
tidak akan terputus seperti air sungai yang mengalir.
Adalah lebih baik
diperhatikan persoalan yang berkaitan dengan wakaf dan permasalahannya
seperti berikut:
Apabila ditinjau dari
segi bahasa wakaf bererti menahan. Sedangkan menurut istilah syarak,
ialah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya, untuk diambil manfaatnya
untuk kebaikan dan kemajuan Islam.
Menahan suatu benda
yang kekal zatnya, ertinya tidak boleh dijual dan tidak diberikan serta
tidak pula diwariskan, tetapi hanya disedekahkan untuk diambil
manfaatnya saja.
Ada beberapa
pengertian tentang wakaf antara lain:
*Pengertian
wakaf menurut mazhab Syafie dan Hambali adalah: “seseorang menahan
hartanya untuk dimanfaatkan di segala bidang kemaslahatan dengan tetap
mewakafkan harta tersebut sebagai taqarrub (menghampirkan diri) kepada
Allah SWT.
*Pengertian
wakaf menurut mazhab Hanafi adalah: “menahan harta-benda sehingga
menjadi hukum milik Allah. Maka seseorang yang mewakafkan sesuatu
bererti ia melepaskan kepemilikan harta tersebut dan memberikannya
kepada Allah untuk beroleh manfaatnya kepada manusia secara tetap dan
berterusan, tidak boleh dijual, dihibahkan ataupun diwariskan.
*Pengertian
wakaf menurut Imam Abu Hanafi pula adalah: “menahan harta-benda atas
kepemilikan orang yang berwakaf dan bersedekah dari hasilnya atau
menyalurkan manfaat dari harta tersebut kepada mereka yang dicintainya.
Berdasarkan definisi Abu Hanifah ini, maka harta tersebut ada dalam
pengawasan orang yang berwakaf (wakif) selama ia masih hidup, dan boleh
diwariskan kepada ahli warisnya jika ia sudah meninggal samaada untuk
dijual atau dihibahkan (hadiah).
Definisi ini
berbeza dengan yang diberikan oleh Abu Yusof dan Muhammad, sahabat
kepada Imam Abu Hanifah itu sendiri.
*Pengertian
wakaf menurut mazhab Maliki adalah memberikan sesuatu hasil manfaat dari
harta, dimana harta pokoknya konsisten atas kepemilikan pemberi manfaat
tersebut walaupun sesaat.
Daripada
definisi itu dapat disimpulkan bahawa wakaf itu termasuk salah satu di
antara pemberian, akan tetapi hanya boleh diambil manfaatnya dan
bendanya harus tetap utuh.
Oleh kerana
itu, harta yang layak untuk diwakafkan adalah harta yang tidak habis
dipakai dan umumnya tidak dapat dipindahkan, misalnya tanah, bangunan
dan serupa dengannya.
Utamanya
untuk kepentingan umum, misalnya untuk masjid, surau, sekolah,
rumah-rumah kebajikan, jalan awam, dan sebagainya.
Hukum wakaf
sama dengan amal jariah. Sesuai dengan jenis amalnya maka berwakaf bukan
sekadar berderma (sedekah) biasa, tetapi lebih besar pahala dan
manfaatnya terhadap orang yang berwakaf.
Pahala yang
diterima mengalir terus menerus selama barang atau benda yang diwakafkan
itu masih berguna dan bermanfaat. Hukum wakaf adalah sunat.
Hadis
Rasulullah yang bermaksud: Apabila anak Adam meninggal dunia maka
terputuslah semua amalnya, kecuali tiga (perkara), iaitu sedekah jariah
(yang mengalir terus), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang
mendoakannya. (riwayat Muslim)
Harta yang
diwakafkan tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Akan tetapi,
harta wakaf tersebut harus secara terus menerus dapat dimanfaatkan untuk
kepentingan umum sebagaimana maksud orang yang mewakafkan.
Syarat dan
Rukun Wakaf
*Syarat
Wakaf
Syarat-syarat harta yang diwakafkan sebagai berikut:
1.
Diwakafkan untuk selama-lamanya, tidak terbatas waktu tertentu.
2. Tunai
tanpa menggantungkan pada suatu peristiwa di masa yang akan datang.
Misalnya, “Saya wakafkan bila dapat keuntungan yang lebih besar dari
usaha yang akan datang”.
3.Jelas
mauquf alaihnya (orang yang diberi wakaf) dan bisa dimiliki barang yang
diwakafkan (mauquf) itu.
*Rukun Wakaf
Orang yang
berwakaf (wakif), syaratnya:
1. Kehendak
sendiri.
2. Berhak
berbuat baik walaupun bukan Islam
Sesuatu
(harta) yang diwakafkan (mauquf), syaratnya:
1. Barang yang
dimiliki dapat dipindahkan dan tetap zatnya, berfaedah saat diberikan
maupun dikemudian hari.
2. Milik sendiri
walaupun hanya sebahagian yang diwakafkan (bercampur dan tidak dapat
dipindahkan dengan bahagian yang lain)
Akad, misalnya: “Saya
wakafkan ini kepada masjid, sekolah orang yang tidak mampu dan
sebagainya” tidak perlu qabul (jawab) kecuali yang bersifat peribadi (bukan
bersifat umum).
*Hikmah
Wakaf
Hikmah wakaf
adalah seperti berikut:
*Melaksanakan perintah Allah SWT untuk selalu berbuat baik. Firman Allah
SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu,
sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu
mendapat kemenangan. (al-Hajj: 77)
lMemanfaatkan harta atau barang bagi tempoh yang tidak terbatas.
Kepentingan diri sendiri sebagai pahala sedekah jariah dan untuk
kepentingan masyarakat Islam sebagai sebagai tanggungjawab kaum
muslimin. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang tidak memperhatikan urusan dan kepentingan kaum
muslimin maka tidaklah ia dari golonganku”.
*Mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Wakaf
biasanya diberi kepada pihak berkuasa agama negeri. Kalau di selangor
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Atau di mana-mana organisasi yang
berautoriti yang diberi izin oleh pihak berkuasa negeri atau Kerajaan
Persekutuan. Kaedah usul fiqh yang bermaksud: “Kemaslahatan umum harus
didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”.
Ke atas

|