|
Negara Arab kagumi industri takaful di Malaysia
Utusan Online -
3 Julai 2007
Beberapa institusi
kewangan di Negara-Negara Kerjasama Teluk melahirkan rasa kagum terhadap
kemampuan Malaysia mengembangkan industri takaful dengan begitu pesat
dan dalam tempoh yang singkat.
Ketua Takaful Bank
Al-Jazeera dari Arab Saudi Dr. Dawood Taylor berkata, takaful di
Malaysia kini mencatatkan pertumbuhan sehingga 92 peratus sejak era
90-an, sedangkan di negara lain hanya 34 peratus.
“Ini
sesuatu yang amat mengagumkan”, katanya di Persidangan Takaful
Antarabangsa 2007 di sini, baru-baru ini.
Dr. Taylor berkata,
saiz caruman takaful di Negara-Negara Kerjasama Teluk mencatatkan
pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus berbanding Malaysia 7.0 peratus.
Malaysia telah menerajui industri ini sejak lima tahun lepas.
Menerusi laman
webnya, akhbar Al-Bayan memetik beliau sebagai berkata:
“Untuk mencapai
pertumbuhan lebih cepat kami akan menyasarkan bidang takaful keluarga
seperti yang dilaksanakan di Malaysia”.
Laporan “S&P
Comstock” pula menyebut bahawa pasaran insurans takaful di Negara-Negara
Kerjasama Teluk berkembang hampir 40 peratus setahun, dan institusi itu
optimis industri takaful di rantau ini mampu menjana keuntungan sehingga
AS$4 bilion dalam beberapa tahun akan datang.
Sementara itu, Ketua
Perkhidmatan Kewangan Islam Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi memberi
alasan bahawa takaful masih baru di negara Teluk.
Menurut beliau,
terdapat 26 buah pengendali takaful di rantau ini yang kebanyakannya
mula beroperasi sejak lima tahun lepas.
“Bilangan ini hanya
10 peratus jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat insurans
konvensional yang mencecah 280 syarikat”, katanya.
Namun dalam usaha
menyaingi Malaysia, beliau menyeru supaya diwujudkan kesatuan industri
takaful di samping usaha memberi kesedaran kepada orang ramai tentang
faedah dan kegunaan takaful.
Ke atas

|