|
Agihan
dana tabarru dalam takaful diharuskan
KUALA LUMPUR 25 Sept. 2007 –
Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana
tabarru dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen
deposit adalah harus di sisi Syariah.
Bank
pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan
oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM.
BNM
berkata, MPS membenarkan lebihan akaun tabarru’ bagi pelan takaful
keluarga dan pelan takaful am untuk diagihkan kepada peserta serta
pengendali takaful adalah berasaskan kontrak takaful itu sendiri.
‘‘Secara umumnya, kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar
tabarru’ iaitu sumbangan dan ta’awun iaitu bantu membantu.
‘‘Prinsip tabarru’ merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful,
manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam
menyokong perlaksanaan operasi takaful,’’ kata BNM.
Menurut kenyataan itu, keputusan MPS membenarkan pengagihan tersebut
dibuat adalah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful.
Jelas
BNM, secara umumnya, cara pengagihan seumpama itu turut diamalkan di
kalangan pengendali takaful di Timur Tengah.
Selain itu, tambah kenyataan itu, MPS juga mengumumkan akaun deposit
berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar iaitu perwakilan bagi tujuan
pelaburan adalah diharuskan.
Namun
begitu, katanya, perlaksanaan kontrak tersebut hendaklah dilakukan
secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil
terhadap pulangan pelaburan.
Kata
BNM, wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru
diluluskan oleh BNM untuk digunakan dalam instrumen deposit dan ia
diharap dapat menambah bilangan produk institusi kewangan Islam yang
kreatif dan berinovasi.
Ke atas

|