| |
Kos Rawatan Buah Pinggang Melebihi Purata
Pendapatan Sebulan Rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2008 -
Kos rawatan untuk pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis
kronik kini lebih daripada RM2,000 seorang sebulan, melebihi purata
pendapatan sebulan rakyat Malaysia.
Dekan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
Prof Datuk Dr Lokman Saim berkata Unit Nefrologi PPUKM pula
membelanjakan hampir RM1 juta setiap tahun untuk rawatan itu.
"Seramai 15,000 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang,
menjalani rawatan hemodialisis kronik di seluruh negara tahun lepas dan
jumlah itu dijangka meningkat kepada 20,000 pesakit menjelang 2010,"
katanya ketika merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 peringkat
PPUKM.
Dr Lokman juga berkata majlis itu diadakan bagi menyedarkan masyarakat
bahawa buah pinggang, walaupun hanya satu organ, namun apabila rosak
akan memberi kesan yang teruk terhadap kesihatan seseorang.
Menurutnya sehingga kini sebanyak 57 peratus kes penyakit buah pinggang
kronik (CKD) berpunca daripada penyakit kencing manis dan jika masalah
itu tidak dirawat segera, pesakit mungkin memerlukan dialisis untuk
meneruskan hidup.
Katanya penyakit buah pinggang berpunca daripada gaya hidup serta
pemakanan seseorang yang tidak berdisiplin dan kurangnya pengetahuan
masyarakat mengenai pentingnya mengutamakan penjagaan kesihatan buah
pinggang.
Sementara itu, pensyarah dan pakar perubatan Nefrologi PPUKM, Dr Rashid
Saidin berkata setiap tahun terdapat 50 hingga 60 orang pesakit yang
melakukan pembedahan buah pinggang di Malaysia dan 30 hingga 40 peratus
pendermanya membabitkan mangsa kemalangan yang meninggal dunia.
"Seramai 15,000 pesakit sedang menunggu giliran menerima buah pinggang,"
katanya.
Dr Rashid juga berkata pada masa ini kesedaran masyarakat terhadap
pendermaan organ, terutama buah pinggang, di kalangan ahli keluarga
pesakit semakin kurang kerana mereka lebih menaruh harapan dan menunggu
organ tersebut daripada penderma yang berdaftar.
Mengulas mengenai alternatif lain selain bergantung kepada penderma buah
pinggang, Dr Rashid berkata PPUKM sedang giat menjalankan kajian
mengenai sel stem dengan harapan dapat membentuk buah pinggang baru yang
mempunyai fungsi sama seperti buah pinggang asal untuk dipindahkan
semula ke dalam badan pesakit.
Sel
stem ialah sel kosong berbanding sel-sel lain yang bersifat tersendiri
seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit. Ini bermakna sel
stem memiliki keupayaan membahagi dan menghasilkan lebih banyak sel
kosong dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah
dan sel darah putih.
"Penghasilan sel buah pinggang melalui sel stem tidak mustahil.
Bagaimanapun, kajian ini masih di peringkat permulaan dan akan mengambil
masa yang lama (untuk mendapat hasil)," katanya.
Menurut Dr Lokman, HUKM yang kini dikenali sebagai PPUKM berkuatkuasa 25
Feb lepas setelah Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia
meluluskan penstrukturan baru dua entitinya iaitu HUKM dan Fakulti
Perubatan UKM, dengan menggabungkan pentadbirannya.
Sebarang urusan surat menyurat kepada pihak Pengarah Hospital UKM atau
Dekan Fakulti Perubatan UKM kini hendaklah dibuat atas nama Dekan dan
Pengarah, PPUKM, Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor
Tuanku Jaafar, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala
Lumpur.
Talian utama
telefon PPUKM juga menggunakan nombor baru 03-9145 5555.
- BERNAMA
Ke atas

|
|