Celcom tawar
pelan perlindungan takaful
Sumber:
Utusan Malaysia, 10hb Oktober 2008
Celcom (M) Bhd. (Celcom) menjadi
syarikat telekomunikasi pertama yang menyediakan perkhidmatan
perlindungan takaful kepada para pelanggannya dengan kadar bayaran
premium RM3 bagi setiap suku tahun.
Bagi para pelanggan Celcom Blue pula,
perkhidmatan itu diberikan percuma untuk tahun pertama.
Perkhidmatan tersebut dijalankan dengan
kerjasama syarikat insurans, MAA Takaful Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri
Shazalli Ramly berkata, tawaran berkenaan dibuka kepada semua pelanggan
baru termasuk lapan juta pelanggannya sedia ada.
Jelasnya, perkhidmatan itu memberi
jaminan perlindungan kepada semua golongan termasuk yang tidak
berkemampuan, terutamanya para pelajar.
”Sebelum ini, kami pernah menawarkan
perkhidmatan insurans kepada pelanggan tetapi untuk segmen takaful
adalah merupakan kali pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara
MAA Takaful dengan Celcom di sini hari ini.
Hadir pada majlis bagi mewakili MAA
Takaful ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain.
Celcom kini mencatatkan lapan juta
pelanggan dengan enam juta daripadanya merupakan pelanggan prabayar.
Bagi melanggan perkhidmatan insurans
berkenaan, para pelanggan baru boleh mengaktifkan talian terlebih dahulu
sebelum menerima mesej pesanan ringkas (SMS) yang meminta supaya
pendaftaran dilakukan.
Para pelanggan hanya diminta memasukkan
nama dan nombor kad pengenalan masing-masing menerusi SMS berkenaan dan
mereka yang berjaya mengaktifkan perlindungan takaful berkenaan
tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Nilai insurans untuk pelanggan pasca
bayar adalah sebanyak RM38,000 manakala prabayar pula sebanyak RM18,000.
Ditanya mengenai kaedah tuntutan
tersebut, Shazalli berkata, para pelanggan boleh memohon insurans secara
langsung di mana-mana cawangan MAA Takaful.
Sementara itu, Salim Majid berkata,
pelan hasil usahasama Celcom tersebut dijangka menyumbang kepada
perolehan MAA Takaful sebanyak RM2 juta hingga RM3 juta untuk tempoh
setahun selepas pelancarannya.
Ke atas

|