Syarikat insurans, takaful
laksana RCB pada 2009
Oleh Ainul Asniera Ahsan
KUALA LUMPUR 29 Okt. 2008 – Bank Negara Malaysia (BNM) berkata,
semua syarikat insurans dan takaful perlu bersedia untuk melaksanakan
rangka kerja modal berasaskan risiko (RCB) mulai 1 Januari 2009.
Bagaimanapun, syarikat
insurans dan takaful yang sudah bersedia untuk melaksanakan rangka kerja
RCB boleh memulakannya mulai awal tahun depan, kata Timbalan Gabenor
Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Zamani Abdul Ghani.
Malah, menurut beliau,
setakat ini sudah banyak syarikat insurans dan takaful yang telah
melaksanakan RCB pada tahun ini.
‘‘Pengenalan RCB dan
pelaksanaan rangka kerja pengawalseliaan lebih awal itu bagi menyediakan
rejim lebih fleksibel bagi memastikan syarikat insurans dan takaful
lebih kukuh.
‘‘Peralihan rangka kerja
pengawalseliaan ini adalah seiring perubahan dalam industri di peringkat
antarabangsa termasuk Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa (IAIS)
yang terlibat dalam menyediakan hala tuju perundangan insurans,’’
katanya ketika berucap di majlis pembukaan Persidangan Insurans Pasifik
ke-23 di sini hari ini.
RCB yang diperkenalkan
itu juga bertujuan menangani kelemahan dalam institusi yang lebih lemah
melalui penyeliaan yang sewajarnya.
Rangka kerja itu
bertujuan membentuk satu rejim yang melibatkan lebih banyak penyertaan
peserta industri secara kolektif untuk membangun dan menguatkuasa secara
berkesan kod amalan professional dalam industri.
Zamani berkata, meskipun
perubahan itu berdasarkan kepada rejim berasaskan keutamaan, tetapi ia
penting untuk mengekalkan pengawasan perundangan untuk kestabilan
kewangan dan keyakinan orang awam.
Ia adalah sama penting
bagi penggubal undang-undang untuk fokus bagi memudahkan perubahan dalam
pasaran yang membolehkan pihak industri berkembang dalam pembangunan
pasaran.’’ tambahnya.
Katanya, ia termasuk
meletakkannya dalam mekanisme yang memanfaatkan kuasa pasaran dan
disiplin untuk memperkukuhkan perundangan dan mempromosi sistem kewangan
yang lebih cekap dan responsif.
Cabaran
Menurut beliau, dalam
menghadapi cabaran, BNM akan sentiasa mengkaji dan membuat penilaian
semula amalan perniagaan dan meletakkan standard antarabangsa yang
diiktiraf oleh IAIS dan Lembaga Standard Perakaunan Antarabangsa.
Dalam ucapannya itu,
Zamani berkata, industri insurans dan takaful mencatatkan pertumbuhan
premium kira-kira 10 peratus bagi insurans nyawa dan am dengan jumlah
premium sebanyak RM13 bilion pada pertengahan tahun ini.
Aset bagi insurans nyawa
dan am juga menyaksikan peningkatan dua kali ganda sebanyak 14 peratus
kepada RM116 bilion sehingga Jun tahun ini.
‘‘Momentum pertumbuhan
ini dijangka berterusan sehingga tahun depan, selari dengan pertumbuhan
ekonomi negara,’’ katanya.
Zamani berkata,
penembusan bagi industri takaful masih lagi rendah iaitu kurang daripada
lima peratus di kebanyakan negara Islam dan Malaysia hanya 6.8 peratus.
Zamani berkata, bank
pusat itu juga membuka peluang kepada mana-mana syarikat takaful asing
yang memiliki kelayakan untuk menerokai pasaran retakaful di negara ini,
selaras dengan fokus BNM untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam
industri takaful.
Ke atas

|