|
Contohi kaum lain mencarum dalam insurans
Sumber:
Utusan Malaysia, 2 November 2008
Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail
Muttalib mengingatkan orang Melayu mencontohi kaum lain yang
memperuntukkan sebahagian pendapatan mereka untuk mencarum dalam skim
insurans sebagai persiapan menghadapi musibah.
Menurutnya, tahap kesedaran terhadap
kepentingan mencarum di kalangan orang Melayu masih rendah walaupun
semakin banyak institusi insurans bercirikan Islam wujud di negara ini.
Malah ujarnya, terdapat segelintir
orang Melayu memandang remeh skim insurans yang menyebabkan mereka
menghadapi masalah kewangan apabila mengalami musibah.
”Orang Melayu perlu akur skim insurans
penting sebagai persiapan perlindungan diri yang paling berkesan pada
waktu kritikal seperti kemalangan, perubatan dan persiapan pendidikan.
”Orang Melayu usah bersikap terlalu
konservatif dalam soal ini kerana mereka mempunyai banyak pilihan untuk
menyertai skim insurans yang berteraskan Islam,” katanya ketika berucap
pada majlis penyerahan cek Skim Insurans Kemalangan Skim Rondaan
Sukerala (SRS) Takaful Ikhlas bernilai RM18,000 kepada seorang ibu
tunggal, Badariah Talib, 47, di Kampung Kuala Sentol di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Projek Insurans
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.
Badariah adalah ibu kepada Allahyarham
Muhamad Fikri Norzilan, 22, seorang anggota SRS KRT Taman Sri Sentol
yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Paya Pasir pada 4 Julai
lalu.
Ismail berkata, kurangnya kesedaran itu
menyebabkan ramai orang Melayu tidak mengambil peduli terhadap
kepentingan skim insurans.
Katanya, polisi skim insurans ini amat
penting kerana kos perubatan kini semakin meningkat.
”Sebagai contoh, waris Muhamad Fikri
mendapat faedah daripada polisi yang diambil oleh Allahyarham
membolehkan keluarganya menerima pampasan sebanyak RM18,000,” katanya.
Ismail menjelaskan, skim insurans bukan
bermaksud membayar harga nyawa tetapi sebagai perlindungan kewangan
untuk kegunaan waris bagi meneruskan kehidupan mereka.
Beliau turut memuji komitmen Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang menyediakan skim insurans
Jawatankuasa KRT dan SRS.
Katanya, skim insurans yang disediakan
kepada ahli KRT itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil
berat terhadap individu yang melakukan aktiviti sukarela di kawasan
kampung.
Ismail menegaskan, pendekatan yang
dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang
menyediakan skim insurans kepada ahli KRT, secara langsung mendidik
orang Melayu terhadap kepentingan polisi insurans.
Ke atas

|