|
Malaysia, Arab
Saudi Pasaran Takaful Terunggul Dunia
DUBAI 15 April 2009 – Arab Saudi dan Malaysia merupakan
dua pasaran takaful terunggul di dunia, dengan caruman masing-masing
berjumlah AS$1.7 bilion dan AS$797 juta pada 2007, demikian menurut
Laporan Takaful Dunia 2009 Ernst & Young.
Katanya, caruman
Takaful global meningkat kepada AS$3.4 bilion pada 2007 berbanding
AS$2.5 bilion pada 2006.
Laporan yang diumumkan
pada Persidangan Tahunan Takaful Sedunia 2009 itu berkata Takaful, atau
insurans koperasi patuh syariah, semakin berkembang melalui kegiatan
menembusi pasaran Islam yang besar di dunia.
Bagaimanapun, ia
menegaskan bahawa masih ada pasaran-pasaran besar yang belum diterokai
di Asia dan Timur Tengah serta rantau Afrika Utara.
“Majlis Kerjasama
Teluk (GCC), Malaysia dan Sudan merupakan tiga pasaran terunggul bagi
Takaful manakala benua kecil India, Indonesia, Mesir dan Turki masih
merupakan pasaran Islam yang paling kurang diterokai,” kata laporan itu.
GCC terdiri daripada Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain, Oman dan
Emiriah Arab Bersatu.
Ketua Kumpulan
Perkhidmatan kewangan Islam Ernst & Young, Sameer Abdi, berkata:
“Pasaran Takaful sekarang meliputi sebahagian besar dunia tetapi masih
ada banyak pasaran Islam yang belum diterokai di hampir setiap benua.
“Kami menganggarkan
pasaran Takaful dunia mencapai nilai setinggi AS$7.7 bilion menjelang
akhir 2012,” kata beliau.
Menurut Omar Bitar,
rakan pengurusan Khidmat Nasihat Ernst & Young Timur Tengah, kelembapan
dunia menjejaskan semua pihak dan Takaful juga tidak terkecuali.
Beliau berkata,
pengusaha Takaful kini perlu menguruskan kos dengan lebih baik dalam
pasaran yang lebih mencabar kerana landskap risiko telah banyak berubah.
“Portfolio pelaburan,
kepakaran sumber manusia dan persaingan akan menjadi risiko perniagaan
paling hebat dalam 12 bulan akan datang.
“Pengusaha-pengusaha (takaful)
juga perlu menilai semula perniagaan teras masing-masing, dan memberikan
tumpuan kepada usaha mencapai keuntungan taja jamin,” tegasnya.
Laporan itu
mencadangkan bahawa dalam berhadapan dengan portfolio pelaburan berisiko
tinggi, pengusaha Takaful perlu mempertingkat keupayaan pengurusan
portfolio dan menambah pulangan terlaras risiko mereka.
– Bernama
Ke atas

|