Kadar Penembusan Takaful Dijangka Meningkat 12 Peratus Pada 2012
Bernama: 27 April 2009
KUALA LUMPUR - Langkah
Kerajaan untuk membenarkan kerjasama lebih besar antara
pengendali insurans dan takaful tempatan dengan rakan kongsi
asing akan membantu meningkatkan kadar penembusan industri
takaful, kata seorang peserta industri.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas
Sdn Bhd Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata dengan
liberalisasi itu beliau menjangkakan penembusan industri
berkembang kepada 12 peratus menjelang 2012, daripada
kira-kira tujuh peratus ketika ini.
Untuk mengukuhkan lagi daya tahan dan daya saing industri
insurans dan takaful, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak Isnin mengumumkan penyertaan ekuiti asing dalam
syarikat insurans dan pengendali takaful akan dinaikkan
kepada had sehingga 70 peratus.
Najib berkata had ekuiti asing yang tinggi melebihi 70
peratus bagi syarikat insurans akan dipertimbangkan
bergantung kepada kes untuk peserta yang boleh
mempermudahkan penyusunan semula dan pengukuhan industri
insurans.
"Penembusan Takaful masih rendah, cuma tujuh peratus dan
peserta sekarang masih belum lagi dapat menembusi pasaran
sepenuhnya.
"Jadi dengan adanya peserta baharu, selagi tidak mengejar
pasaran yang sama, ia tidak akan menjadi masalah kepada
pengendali tempatan. Malah akan membantu meningkatkan
kesedaran masyarakat," katanya kepada Bernama hari ini.
Oleh kerana persaingan industri dijangka berkembang, Syed
Moheeb berkata peserta tempatan perlu meningkatkan daya
saing mereka.
"Hanya empat daripada lapan pengendali kita yang besar dan
dapat bersaing. Yang empat lagi agak kecil.
"Oleh itu, mereka perlu pertingkatkan prestasi. Kalau tidak,
Bank Negara Malaysia akan memastikan mereka membawa masuk
rakan kongsi baharu yang boleh membantu pertumbuhan mereka,"
katanya.
-- BERNAMA
