Lesen Takaful Baru Akan Bantu Pertumbuhan Industri
Bernama: 28 April 2009
KUALA LUMPUR -
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menyatakan bahawa
pengeluaran dua lesen takaful baharu akan terus meningkatkan
kadar penembusan takaful di Malaysia yang kini pada tahap
yang sangat rendah.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan pelbagai langkah untuk meliberalisasikan sektor
kewangan, termasuk menawarkan lesen takaful kepada peserta
yang boleh membawa penawaran nilai ke Malaysia untuk
merangsang perkembangan industri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, LIAM berkata pengeluaran
lesen baharu itu juga akan menarik peserta takaful yang
kukuh dan sudah mempunyai reputasi, ke dalam negara, yang
merupakan usaha baik ke arah memperkukuh kedudukan Malaysia
sebagai pusat kewangan Islam.
Persatuan itu berkata peningkatan had ekuiti asing kepada 70
peratus daripada 49 peratus sekarang, disambut baik oleh
industri kerana ia akan menjadikan Malaysia sebagai tempat
yang menarik bagi peserta antarabangsa terkemuka untuk
membuka operasi mereka.
Institut Akauntan Malaysia (MIA) dalam satu kenyataan
berasingan menyatakan langkah itu akan menjadikan Malaysia
lebih berdaya saing, selain merangsang ekonomi negara dan
membolehkan penyatuan ekonomi serantau dilakukan secara
lebih berkesan.
MIA berkata langkah itu bukan sahaja merangsang sektor
kewangan, malah pada masa yang sama memudahkan pemindahan
pengetahuan dan kepakaran sepenuhnya antara pihak tempatan
dan asing.
- BERNAMA
