Insurans kelompok untuk kereta tua
Berita Harian: 5 Julai 2009
Syarikat enggan lindung kenderaan bawah RM10,000
KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat insurans kini menolak
permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans
kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana
dianggap merugikan.
Berdasarkan aduan yang diterima Berita Harian, syarikat
terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk
diberi perlindungan insurans.
Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas
yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa
ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan
keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang
didaftar antara 1994 hingga 1999.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika
dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima banyak
aduan mengenai perkara itu, terutama daripada pemilik teksi
yang berusia 10 tahun ke atas.
Sehubungan itu, Fomca menggesa pihak berkuasa khususnya Bank
Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)
memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia akan
menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan terbabit.
Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata
tindakan itu tidak adil kepada pengguna khususnya golongan
berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan bernilai di
bawah RM10,000.
"Kerajaan masih membenarkan rakyat menggunakan kenderaan
berusia lebih 10 tahun. Saya tidak faham mengapa syarikat
insurans tertentu enggan menerima permohonan dan pembaharuan
insurans bagi kenderaan di bawah RM10,000," katanya.
Mohd Yusof berkata, syarikat insurans tidak mungkin
menanggung kerugian selagi kenderaan berkenaan tidak
terbabit dalam kemalangan.
"Setahu saya, masih tidak ada statistik rasmi yang
menyatakan bahawa kadar kemalangan bagi kenderaan bernilai
bawah RM10,000 atau berusia lebih 10 tahun adalah tinggi.
Lagi pun, nilai yang dilindungi adalah rendah berbanding
kereta baru," katanya.
PIAM ketika dihubungi semalam memberi jaminan akan meneliti
aduan itu.
Jurucakapnya berkata, pihak syarikat sudah tentu mahu menjana keuntungan dan segmen perlindungan kenderaan di bawah RM10,000 dikenal pasti membawa kerugian kerana banyak tuntutan diterima.
Bagaimanapun, kajian peringkat syarikat akan terus dilaksanakan dan kemungkinan segmen itu diberi perlindungan semula jika ia didapati tidak berisiko tinggi pada masa akan datang.
