| |
Insurans kelompok untuk kereta tua
Berita Minggu: 5 Julai 2009
Pejabat pos akan kendali permohonan mulai bulan ini
KUALA LUMPUR: Masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan
berharga kurang RM10,000, termasuk teksi akan diatasi menerusi skim
insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan
ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang
diwujudkan kerajaan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu
berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi
memperbaharui cukai jalan.
Dr Awang Adek berkata, skim baru itu akan memudahkan penduduk luar
bandar berurusan tanpa perlu mencari ejen atau syarikat insurans. Ia
juga mengelakkan mereka daripada menghadapi pelbagai kerenah syarikat
insurans.
"Memberi perlindungan insurans kepada kereta lama memang tidak
menguntungkan syarikat insurans. Namun, isu ini tidak timbul lagi kerana
syarikat insurans bergabung membentuk skim berkelompok (pool insurance)
untuk memudahkan orang ramai.
"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan permohonan mereka, pejabat pos
yang akan kendalikan, jika masih juga timbul masalah atau permohonan
ditolak, mereka boleh melaporkan kepada saya atau Bank Negara.
"Menolak permohonan untuk mendapatkan perlindungan insurans kenderaan
adalah satu kesalahan.
Jika didapati bersalah, syarikat insurans boleh dikenakan tindakan
tegas, termasuk disenarai hitamkan," katanya ketika dihubungi Berita
Minggu di sini, semalam. Beliau diminta mengulas tindakan beberapa
syarikat menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans
kenderaan berharga kurang RM10,000 kerana dianggap merugikan.
Syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk
diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10
tahun dan ke atas bernilai kurang RM10,000 berada di jalan raya pada
masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran
Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga
1999.
Dr Awang Adek berkata, pihaknya juga dalam usaha merombak sistem atau
kaedah pembayaran insurans kenderaan yang membabitkan Bank Negara,
Kementerian Pengangkutan dan syarikat insurans.
Antara perkara yang dikaji ialah bayaran insurans minimum kepada pihak
ketiga, menetapkan had liabiliti yang perlu ditanggung syarikat insurans
jika berlaku kemalangan, membayar pampasan secara automatik kepada
mangsa dan penguatkuasaan garis panduan.
"Sistem kita perlu diubah, ada yang tidak betul, kaedah baru perlu
dilaksanakan supaya semua pihak dapat keadilan dan keuntungan.
"Contohnya, sistem sekarang, tidak ada had dalam memberi pampasan, semua
ditentukan mahkamah sampai ada pampasan RM3 juta kepada mangsa,
merugikan syarikat insurans," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri
berkata, kerajaan sedang memperincikan cadangan meminda Akta
Pengangkutan Jalan 1987 yang membabitkan penetapan had tuntutan untuk
sesuatu kemalangan.
"Sekarang tuntutan tiada had, mahkamah bebas menetapkan berapa jumlah
tuntutan kepada mangsa kemalangan.
"Perkara ini masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Bank
Negara dan syarikat insurans, ambil masa sikit untuk diperincikan,"
katanya.
Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr
Mohd Hamdan Adnan meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium
insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna
berpendapatan rendah.
"Syarikat insurans juga perlu dipantau kerana laporan mendapati mereka
turut menipu pelanggan untuk meraih keuntungan tinggi daripada pelanggan,"
katanya.
Ke atas

|
|