|
Pelabur, penganjur skim cepat kaya elok sama-sama ‘kena’
Oleh: MOHD. KAMIL YUSUFF (WARTAWAN UTUSAN) – 29/9/2007
ARAHAN mahkamah kepada seorang defendan dalam skim pelaburan Internet
SwissCash supaya memindahkan semula wang RM35juta dalam akaunnya di luar
negara ke Malaysia membuktikan bahawa individu seperti ini tidak akan
terlepas begitu sahaja.
Ia juga mendedahkan kepada kita begitu banyak keuntungan yang mereka
kaut selama ini hasil daripada memanipulasi nafsu ingin cepat kaya
kebanyakan rakyat negara ini.
Jumlah keuntungan itu hanya bagi seorang sahaja. Bayangkan berapa pula
keuntungan yang diperoleh rakan-rakan sekutunya yang lain.
Dan apa pula keuntungan yang diperoleh orang ramai yang menyertai skim
tersebut. Memang ada yang sempat mengecap keuntungan, tetapi bilangannya
hanya berapa kerat sahaja.
Ramai lagi yang melopong, malah ada yang sampai ke peringkat ‘wang habis
barang kemas tergadai’. Ada juga yang separuh sasau kerana kehilangan
wang simpanan.
Apabila berlaku kes seperti SwissCash ini, yang dikatakan menerima
deposit antara RM380 juta dan RM3.8 bilion, para pelabur yang teraniaya,
sedangkan pihak penganjur berjaya membawa keuntungan untuk disimpan di
luar negara.
Kelmarin, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataannya memberitahu, wang
yang dibawa balik itu akan dibekukan melalui perintah Mareva, tertakluk
kepada prosiding sivil yang difailkan oleh suruhanjaya itu.
Awal tahun ini, SC memfailkan prosiding sivil terhadap Amir Hassan,
Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Dynamic Revolution Sdn. Bhd.,
Swiss Mutual Fund (1948) S.A., SMF International Ltd. dan SMF (1948)
International Ltd.
Jika selama ini, individu atau kumpulan yang menjalankan kegiatan
seumpama itu boleh terlepas begitu sahaja kerana kekurangan bukti dan
peruntukan undang-undang, kini dengan perkembangan terbaru ini, ‘padah’
menanti mereka.
Ketegasan SC menguatkuasakan tindakan sivilnya memberi keyakinan bahawa
tidak ada lagi mereka yang berani memanipulasi kelemahan pengetahuan
orang ramai terhadap skim pelaburan.
Walaupun wang yang diarah dipindahkan semula ke negara ini dibekukan dan
pelabur tidak mendapat wang mereka semula, sekurang-kurangnya berlaku
situasi ‘sama-sama kena’.
Pelabur
terkena kerana kejahilan mereka dalam pelaburan Internet, manakala
penganjur pula bertemu buku dengan ruas ekoran ketegasan SC dalam soal
pelaburan tidak berlesen.
Ringkasnya, luka di hati pelabur terubat juga apabila pihak penganjur
tidak terlepas daripada tindakan tegas SC.
Kejayaan SC dalam kes ini memberi harapan baru kepada penyelesaian
kes-kes lain yang sedang menunggu untuk diselesaikan.
Menurut
laporan akhbar sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 28 laman web
pelaburan cepat kaya tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran
modal dan sekuriti tanpa kelulusan SC.
Kesemua
laman web itu difahamkan berada dalam senarai amaran SC.
Kita
berharap SC akan menjalankan tindakan yang lebih agresif pada masa akan
datang dan mengheret lebih banyak lagi penganjur skim cepat kaya ini ke
muka pengadilan.
Tindakan tegas suruhanjaya ini tentunya boleh mengelakkan lebih ramai
lagi yang akan menjadi mangsa manipulasi penganjur-penganjur skim cepat
kaya.
Orang
ramai tidak boleh dibiarkan terus hanyut dengan godaan skim cepat kaya
tanpa kawalan atau perlindungan daripada pihak berkuasa.
Hanya
dengan undang-undang serta mekanisme kewangan negara yang mantap dan
berkesan sahaja, aktiviti skim cepat kaya yang telah menarik ratusan
ribu peserta ini dapat dibendung.
Ke atas

|