| |
Tingkat prestasi saham halal bagi tarik pelabur
Oleh Mohamad Sofee Razak
Sumber: BH/WebSekolah
“SUNGGUH menakjubkan!” Mungkin itulah kata-kata paling tepat dilafazkan
berikutan trend dan senario semasa ekonomi negara. Fenomena kejayaan dan
lonjakan Indeks Komposit (IK) Bursa Malaysia adalah tanda lanjutan
pemulihan struktur ekonomi negara.
Ini pencapaian terbaik Bursa Malaysia selepas 13 tahun. Bursa Malaysia
pernah mencecah paras 1,314.46 mata pada 5 Januari 1994. Pada 16 April
lalu, IK mencapai paras tertinggi dalam sejarah apabila ditutup 1,322.91
berikutan minat belian yang tinggi terhadap saham mewah, perladangan dan
hartanah.
Kecemerlangan dan prospek berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja,
malahan statistik menunjukkan negara mencatat jumlah pelaburan terus
asing (FDI) RM20.2 bilion bagi tahun lalu di belakang Singapura yang
mencatatkan FDI RM30.7 bilion.
Peningkatan itu adalah antara yang tertinggi berbanding negara serantau
lain seperti Thailand yang mencatatkan FDI RM11.4 bilion dan Indonesia
RM4.7 bilion.
Ringgit juga melonjak hingga mencapai paras tertinggi baru untuk hampir
10 tahun, dirangsang permintaan yang begitu cergas dengan dana asing
terus mengumpul saham di Bursa Malaysia.
‘The World Competitiveness Book 2006’ merekodkan Malaysia berada di
tangga ke-23 pada 2006 berbanding kedudukan ke-28 pada 2005 daripada 61
negara.
Laporan Bank Dunia 2007 pula mencatatkan Malaysia mengekalkan tempat di
tangga ke-25 daripada 175 negara dunia lain daripada segi kemudahan
menjalankan perniagaan pada 2006.
Jabatan Perangkaan mencatatkan lebihan perdagangan RM7.6 bilion pada
Februari 2007 berbanding RM7.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah pendapatan eksport juga meningkat dengan barangan elektrik dan
elektronik menjadi penyumbang terbesar iaitu RM18.7 bilion iaitu 45
peratus daripada jumlah eksport negara manakala minyak kelapa sawit dan
hasil keluaran kelapa sawit adalah sumber pendapatan eksport kedua
terbesar dengan jumlah nilai gabungan RM5.1 bilion, menyumbang 5.7
peratus kepada jumlah berkenaan.
Selanjutnya eksport petroleum mentah adalah penyumbang ketiga terbesar
dengan jumlah RM5.0 bilion dan diikuti dengan gas asli cecair (LNG)
bernilai RM4.4 bilion.
Eksport kelima terbesar iaitu kayu dan hasil keluaran kayu berjumlah
RM3.6 bilion dan produk petroleum menjadi komoditi eksport keenam yang
menyumbang RM1.9 bilion.
Lima rakan dagangan utama Malaysia ialah
Amerika Syarikat, Singapura, Kesatuan Eropah, Jepun dan China.
Pasaran modal tempatan dilihat kembali cergas dan berdaya saing dengan
keyakinan pelabur asing dan tempatan serta kerancakan projek dan
perancangan prasarana di bawah induk Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9) turut menjadi faktor penentu kepada peningkatan IK Bursa
Malaysia.
Pelabur di peringkat institusi kewangan dan runcit dilihat terus
tertarik dan menumpukan pelaburan jangka panjang dan jangka pendek
mereka pada saham mewah dalam sektor hartanah, perladangan, serta minyak
dan gas.
Menurut Buletin Malaysian Islamic Capital Market (MICM) yang dikeluarkan
Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk November 2006 (Bil 1, No 3), terdapat
hampir 886 stok atau 86 peratus pelaburan saham di Bursa Malaysia yang
diklasifikasikan sebagai halal serta mengikut syariah.
Fenomena itu boleh dilihat pada Papan Utama dan Kedua Bursa Malaysia
yang meliputi stok barangan pengguna, barangan industri, pembinaan,
dagangan/khidmat, kewangan, infrastruktur; hartanah, perladangan,
perlombongan, hotel, teknologi, dana tertutup, dana pertukaran dagangan
dan Mesdaq.
Ini adalah daya tarikan utama kepada pelabur tempatan serta pelabur dari
negara Islam dan bukan Islam, sekali gus menjadikan pasaran saham lebih
dinamik, berpotensi dan berdaya saing.
Di Malaysia, proses kawal selia dan pengawasan pasaran saham amat diberi
penekanan oleh SC, Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI) dan Bursa Malaysia
dengan sesuatu aktiviti pelaburan halal perlu dilaburkan hanya di
kaunter pelaburan yang halal dan diluluskan Majlis Pengawasan Syariah
(MPS) membabitkan pakar ekonomi Islam, mufti dan intelektual Islam.
Ia antara lain membabitkan bon kerajaan, perkongsian untung
al-Mudharabah, instrumen dan nota kewangan Islam, kertas pembiayaan
Islam, murabahah komoditi, projek pelaburan di bawah prinsip al-Bai
Bithaman Ajil dan harta bangunan.
Di samping itu, IK Bursa Malaysia turut bertindak secara positif sebagai
pemangkin pasaran saham dalam dan luar negara dan seterusnya mencatatkan
rali berterusan ke paras tertinggi dengan saham mewah, sederhana dan
waran dilihat mampu meraih laba kukuh.
Situasi itu bergantung kepada momentum positif, termasuk usaha
pengambilan untung oleh pelabur jangka pendek dan minat jualan yang
turut mempengaruhi saham di kaunter halal bagi melepasi paras psikologi
serta breakout IK Bursa Malaysia.
Pasaran yang mantap, efisien, aktif, dan berdaya maju sudah pasti
memiliki daya tarikan kepada pelabur dalam dan luar negara untuk terus
melabur dalam pembelian saham terbitan tempatan, terutama saham mewah
yang sebahagian besarnya pematuhan prinsip syariah iaitu tiada unsur
riba dan gharar (ragu-ragu), secara teknikalnya berpotensi untuk
mencatatkan untung kenaikan yang meyakinkan IK Bursa Malaysia.
Jumlah nilai dagangan bertambah besar akan menambah lagi dana dan
peluang firma tempatan mengembangkan aktiviti ekonomi mereka di pasaran
global.
Oleh itu usaha untuk meningkatkan pembesaran dan pengemaskinian operasi
dan aktiviti saham, terutama pasaran saham halal, bagi menarik aktiviti
pelaburan adalah usaha yang amat perlu, konsisten dan holistik bagi
Malaysia.
Sebagai pelabur bijak dan matang, pasaran saham halal tempatan dan
global adalah alternatif terbaik untuk diterokai.
Keputusan terbaru yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan
pelaburan internet perlu dipatuhi.
Kejayaan mewujudkan kemantapan, kecergasan dan kestabilan pasaran saham
adalah petanda positif kepada pertumbuhan dan pembangunan mekanisma
pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.
> Penulis adalah
peguam bela dan peguam cara
Ke atas

|
|