BERITA MUAMALAT

TERKINI DI

LAMAN UTAMA

 

ARKIB

BERITA/ARTIKEL

 

Pewarisan Harta

(Wasiat, Hibah, Pusaka)

 

Perlindungan Harta

(Takaful/Insuran)

 

Pengembangan Harta

(Bursa Saham, Unit Amanah)

 

Penyucian Harta

(Zakat, Haji, Umrah, Wakaf)

   

Pelancaran ECER detik bersejarah bagi Kelantan

Oleh HERMAN HAMID

 

 

Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan dokuman pelan pembangunan ECER kepada Nik Aziz Nik Mat (kiri) pada Majlis Pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Kota Bharu, semalam.


 

Sumber: Utusan Malaysia, 30 Okt 2007

 

KOTA BHARU 29 Okt. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hari ini sebagai detik bersejarah dalam kerjasama antara dua pihak bagi membangunkan negeri itu.

 

Justeru, beliau yang mewakili kerajaan negeri bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana ECER dilihat memberi perhatian kepada projek-projek yang sememangnya telah dikenal pasti sebagai mustahak untuk dilaksanakan.

 

‘‘Seperti yang telah terbukti, lebih 17 tahun kerajaan negeri yang ada pada hari ini memerintah negeri ini, tidak pernah sekalipun sebarang projek Persekutuan baik kecil atau besar dihalang dan ini yang akan diteruskan untuk ECER,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ECER Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

 

Nik Aziz kemudian secara berkias menzahirkan komitmen penuh untuk menjayakan segala perancangan ECER untuk Kelantan walaupun berbeza dari segi fahaman politik dengan Kerajaan Pusat.

 

‘‘Tanpa pertukaran apa-apa perubahan, pelan (ECER) yang dilancar hari ini untuk Kelantan tidak memerlukan apa-apa pertukaran nakhoda untuk dilaksanakan.

 

‘‘Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak iaitu untuk memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat,” jelasnya.

 

Semasa memulakan ucapannya, Nik Aziz melahirkan rasa gembira apabila buat pertama kalinya dalam tempoh 17 tahun menerajui kerajaan negeri, beliau diberi peluang untuk berucap di pentas yang sama dengan Perdana Menteri.

 

Beliau menambah, beberapa projek raksasa terkandung dalam pelan induk yang menelan belanja keseluruhan berjumlah RM12 billion itu termasuk pembinaan universiti, Lebuh Raya Pantai Timur dan pelabuhan perikanan Tok Bali.

 

Selain itu, katanya, ECER juga bertujuan mewujudkan kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera seperti mana dirancang oleh kerajaan negeri.

 

‘‘Ia terdapat dalam Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Kelantan yang telah didokumenkan tujuh tahun lalu dan telah dikemukakan kepentingannya untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat,’’ ujarnya.

 

Dalam ucapannya juga, Nik Aziz berharap projek pembinaan terminal pendaratan gas dan petroleum di negeri ini dapat dimasukkan dalam perancangan pembangunan ECER.

 

Menurut beliau, projek itu sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

 

‘‘Kerajaan negeri merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok (Bachok),” katanya yang turut berharap sektor pertanian benar-benar diberikan perhatian serius untuk dimajukan di bawah ECER.

 

Pada perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Ekonomi, Perancangan Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa pada sidang akhbar sempena majlis itu optimis harapan kerajaan negeri akan dipertimbangkan.

 

‘‘Yang penting, hasrat dan harapan kita selama ini disampaikan terus kepada Perdana Menteri dan Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican,’’ katanya.

 

Ke atas