|
Suruhanjaya Sekuriti (SC) memberi amaran kepada
orang ramai terhadap pelaburan dalam mana-mana produk pelaburan
yang kononnya dipasarkan di bawah nama ‘Credit Suisse
Investment’ atau ‘CSI’ atau mana-mana produk pelaburan lain yang
ditawarkan oleh atau melalui Beneficence International
investment (Group) Company limited atau mana-mana entiti yang
berkaitan.
CSI tidak diluluskan oleh SC dan Beneficence
International investment (Group) Company limited tidak
dilesenkan oleh SC bagi menjalankan sebarang aktiviti yang
berkaitan dengan pasaran modal.
Orang ramai harus melabur hanya dalam sekuriti
atau produk pelaburan melalui pihak yang dilesenkan oleh SC.
Mereka juga dinasihati supaya memeriksa status pelesenan
mana-mana syarikat tempatan dan asing dengan SC sebelum membuat
sebarang pelaburan dalam syarikat tersebut.
Aktiviti yang berkaitan dengan nasihat pelaburan,
pengurusan dana dan urus niaga sekuriti dikawal selia bawah Akta
Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dan mereka yang menawarkan
perkhidmatan tersebut memerlukan lesen daripada SC.
Senarai
syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC untuk menjalankan
aktiviti pelaburan boleh didapati di
www.sc.com.my .
Orang ramai
yang mendapati sebarang program atau produk pelaburan yang
meragukan, atau mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan
program atau produk sedemikian harus memberitahu SC melalui e-mel
di
aduan@seccom.com.my
atau telefon 03–6204 8999.
SURUHANJAYA SEKURITI
|