|
SIARAN
AKHBAR SURUHANJAYA SEKURITI
Kuala Lumpur, 29 September 2008
Swisscash: Penghakiman bersejarah bagi SC — Wang di luar negara dikesan
dan dihantar pulang
Suruhanjaya
Sekuriti (SC) telah memperoleh satu penghakiman bersejarah Mahkamah
Tinggi terhadap tiga defendan yang terlibat dalam skim penipuan
pelaburan Swisscash yang pada dasarnya akan membolehkan para pelabur
dalam skim tersebut mendapat ganti rugi.
Penghakiman
terhadap Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe dan Dynamic Revolution
Sdn Bhd, yang diperoleh pada 25 September 2008, memerintahkan mereka
membayar AS$83 juta, dan sebarang amaun yang dikesan oleh SC, bagi
tujuan membayar ganti rugi kepada para pelabur skim tersebut.
Selain itu,
ketiga-tiga defendan tersebut dilarang daripada menjalankan perniagaan
Swisscash dan bertindak sebagai pengurus dana tidak berlesen dan/atau
penasihat pelaburan tidak berlesen. Mereka juga dilarang daripada
mengutip dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang skim pelaburan atau
membuka sebarang laman web skim pelaburan Internet.
Penghakiman
tersebut merupakan kemuncak kepada usaha intensif SC selama dua tahun
dalam menjejaki penjenayah skim pelaburan Swisscash yang membabitkan
siasatan merentasi tujuh negara bagi mengumpulkan bukti dan mengesan
wang Swisscash.
Berdasarkan hasil
siasatannya, SC telah berjaya memperoleh injuksi Mareva seluruh dunia
pada bulan Jun 2007 bagi menghalang defendan daripada melupuskan aset
mereka di dalam dan luar Malaysia. Satu perintah mahkamah juga telah
diperoleh pada bulan September 2007, yang mengarahkan salah seorang
defendan supaya memindahkan RM35 juta wang Swisscash kembali ke
Malaysia. Sejak itu, SC telah mengetuai mesyuarat tujuh pengawal selia
untuk mengukuhkan lagi kerjasama rentas sempadan dan pertukaran maklumat
mengenai skim penipuan Swisscash.
Dengan penghakiman
tersebut, SC dapat bekerjasama dengan rakan kawal selianya dari
negara-negara lain termasuk Switzerland, Isle of Man, Jersey, Australia
dan Singapura, bagi mengesan dan menghantar pulang wang Swisscash
sebanyak lebih kurang RM30 juta yang diketahui disimpan di luar negara,
bagi memenuhi penghakiman tersebut. Pelabur yang layak akan dibayar
ganti rugi sebaik sahaja wang tersebut berjaya dibawa pulang.
Penghakiman
tersebut juga membolehkan SC mengambil tindakan terhadap defendan
sekiranya mereka meneruskan aktiviti Swisscash atau sebarang skim
pelaburan yang lain.
Pencapaian ini
menyelesaikan tindakan SC terhadap tiga daripada empat defendan yang
dinamakan dalam saman sivil yang difailkan pada bulan Jun 2007. Defendan
keempat, Amir Hassan, masih menentang tindakan sivil tersebut.
Para pelabur
diingatkan lagi bahawa kedua-dua Swiss Mutual Fund dan Swisscash tidak
diberikan lesen oleh SC. Orang ramai dinasihati supaya melabur hanya
dengan pihak yang dilesenkan oleh SC bagi mendapat perlindungan yang
disediakan bawah undang-undang sekuriti. Senarai syarikat dan individu
yang dilesenkan oleh SC untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan
boleh didapati
di sini.
SURUHANJAYA
SEKURITI
Ke atas

|