|
Pengeluaran Pelaburan Ahli KWSP Catat Peningkatan
Ketara
‘Bukan Hanya Simpanan’ Bolehkan Lebih Ramai Ahli
Buat Pengeluaran
Laman Web KWSP:
25 November 2008
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan
ketara dalam bilangan Pengeluaran Pelaburan Ahli pada suku tahun
ketiga 2008 (S3 2008) berikutan bertambahnya bilangan ahli yang
layak di bawah pengeluaran ini.
Pada S3 2008,
sebanyak 107,564 (S2 2008: 122,887) permohonan telah diluluskan
untuk pengeluaran ini, meningkat 42.9 peratus berbanding 75,239
permohonan pada tempoh yang sama tahun lepas (S3 2007).
“Menerusi pelaksanaan Simpanan Asas di bawah
inisiatif strategik ‘Bukan Hanya Simpanan’, kini lebih ramai
ahli terutamanya yang masih muda layak memohon Pengeluaran
Pelaburan Ahli,” kata Datuk Azlan Zainol, Ketua Pegawai
Eksekutif KWSP ketika mengulas prestasi S3 2008 yang belum
diaudit.
Simpanan Asas dilaksanakan pada Februari 2008 di
mana sejumlah simpanan dalam Akaun 1 ditetapkan mengikut
peringkat umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum
sekurang-kurangnya RM120,000 ketika mencapai umur 55 tahun.
Di sebalik peningkatan dalam bilangan permohonan,
hanya RM808.53 juta (S2 2008: RM992.69 juta) telah dikeluarkan
di bawah pengeluaran ini pada S3 2008 berbanding RM874.44 juta
pada S3 2007.
“Meskipun bilangan permohonan yang diluluskan
meningkat, namun jumlah simpanan yang dikeluarkan menurun kerana
kebanyakan ahli yang membuat pengeluaran terdiri daripada
golongan muda. Memandangkan ahli hanya dibenarkan melabur tidak
lebih daripada 20 peratus daripada simpanan dalam Akaun 1 yang
melebihi Simpanan Asas, ahli yang masih muda lazimnya memiliki
jumlah simpanan yang kecil untuk dilaburkan,” tambah Datuk Azlan.
Menyedari pentingnya pendidikan bagi menjamin masa depan yang
lebih baik, Pengeluaran Pendidikan terus mendapat sambutan
daripada ahli. Pada S3 2008, sebanyak 16,663 (S2 2008: 10,454)
permohonan Pengeluaran Pendidikan dengan nilai RM85.01 juta (S2
2008: RM64.35 juta) telah diluluskan berbanding 15,877
permohonan bernilai RM87.14 juta pada S3 2007.
Walaupun Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun
telah diperkenalkan mulai November 2007, Pengeluaran Penuh Umur
55 Tahun terus menjadi pengeluaran persaraan paling popular di
kalangan ahli yang mencecah usia 55 tahun. Sebanyak 29,054 (S2
2008: 32,526) permohonan berjumlah RM1,236.14 juta (S2 2008:
RM1,361 juta) telah diluluskan pada S3 2008 berbanding 30,832
permohonan bernilai RM1,594.79 juta pada S3 2007.
Pada S3 2008, sebanyak 7,154 (S2 2008: 6,587)
permohonan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun dengan nilai
RM403.51 juta (S2 2008: RM387.14 juta) telah diluluskan.
“Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun memberikan
pilihan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka secara
berkala atau ad hoc berbanding secara sekaligus. Peningkatan
Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang diluluskan pada S3 2008
jelas menunjukkan lebih ramai ahli memilih cara yang lebih
fleksibel untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan
lebih baik,” kata Datuk Azlan.
Sementara itu, jumlah Pengeluaran Umur 50 Tahun yang diluluskan
pada S3 2008 tidak banyak berubah dengan 26,449 (S2 2008:
30,028) permohonan diluluskan berbanding 25,960 permohonan pada
S3 2007. Sebanyak RM685.99 juta (S2 2008: RM786.11 juta) telah
dikeluarkan pada S3 2008, meningkat sedikit berbanding RM680.65
juta pada tempoh sama tahun lepas.
Kesan kelembapan ekonomi juga dapat dilihat
menerusi penurunan permohonan Pengeluaran Perumahan yang
diluluskan pada S3 2008 berbanding S3 2007. Sebanyak 108,573
(S2 2008: 119,212) permohonan telah diluluskan pada S3 2008
berbanding 135,065 pada S3 2007. Sejumlah RM1,577.24 juta (S2
2008: RM1,827.28 juta) telah dikeluarkan di bawah pengeluaran
ini pada S3 2008, menurun 19.5 peratus berbanding RM1,960.23
juta pada S3 2007.
KWSP terus mengekalkan tahap perkhidmatannya
seperti yang dijanjikan dalam Piagam Perkhidmatan Pelanggan
dengan 99.9 peratus Pengeluaran Umur 50 dan 55 Tahun diproses
dalam tempoh 3 hari pada S3 2008 berbanding 99.8 peratus pada S3
2007.
Purata tempoh memproses Pengeluaran Perumahan
juga menunjukkan peningkatan lebih ketara pada S3 2008 di mana
96.6 peratus permohonan diproses dalam tempoh 21 hari berbanding
84.9 peratus pada S3 2007.
“KWSP sentiasa komited untuk terus meningkatkan
kualiti perkhidmatannya selaras dengan pensijilan MS ISO
9001:2000. Sebagai sebuah organisasi dengan hampir 12 juta ahli,
KWSP akan terus memantau dan meningkatkan kualiti perkhidmatan
untuk memastikan ia kekal relevan kepada keperluan ahlinya,”
kata Datuk Azlan.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen
terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan
bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan
meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan
dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi
panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan
pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan
untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai
pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan
kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
|