|
KWSP Isytihar Dividen 4.50% Bagi 2008
Catat Pendapatan Kasar Tertinggi RM20 bilion di
Sebalik Krisis Kewangan
Laman Web KWSP:
16 Mac 2009
Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini dengan
kelulusan Menteri Kewangan mengisytiharkan kadar dividen 4.50
peratus bagi tahun 2008. Kadar dividen yang lebih rendah
berbanding 2007 disebabkan peningkatan peruntukan rosot nilai
pelaburan kesan penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global
yang dicetuskan oleh krisis kewangan dunia.
Di sebalik krisis kewangan itu, KWSP mencatatkan pendapatan
kasar tertinggi pernah dicapai sebanyak RM20 bilion pada tahun
2008, meningkat 9.36 peratus berbanding pendapatan kasar tahun
sebelumnya sebanyak RM18.29 bilion.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata,
“Walaupun 2008 merupakan tahun yang mencabar berikutan krisis
kewangan global yang telah memberikan kesan negatif kepada
ekonomi dunia, portfolio pelaburan KWSP dari segi pendapatan
kasar telah menunjukkan prestasi lebih baik berbanding 2007.
Bagaimanapun, ekoran kejatuhan menjunam nilai pasaran ekuiti,
sejumlah besar peruntukan rosot nilai pelaburan perlu dibuat
yang menyebabkan penurunan ketara pendapatan bersih.”
Pendapatan
bersih pada 2008 ialah RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan
rosot nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk
pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan
bayaran manfaat kematian serta hilang upaya. Ini merupakan
penurunan 15.47 peratus berbanding pendapatan bersih 2007
sebanyak RM16.87 bilion.
Ekuiti masih merupakan antara penyumbang terbesar kepada
pulangan KWSP pada 2008, mewakili 34.82 peratus daripada jumlah
pendapatan pelaburan kasar KWSP. Ekuiti memberikan pulangan
kedua terbesar kepada KWSP sebanyak RM6.67 bilion pada 2008
berbanding RM5.37 bilion pada 2007. (Rujuk
Jadual 1, Lampiran 1).
“Sehingga September tahun lepas, KWSP telah
menunjukkan prestasi yang baik dalam ekuiti. Bagaimanapun,
berikutan krisis kewangan dunia, prestasi pelaburan ekuiti KWSP
jatuh kurang daripada 20 peratus, seterusnya memberikan kesan
kepada bayaran dividen. Bagaimanapun, prestasi KWSP adalah lebih
baik berbanding dengan indeks komposit Bursa Malaysia yang
merosot kira-kira 40 peratus dari akhir Disember 2007 hingga
Disember 2008,” kata Tan Sri Samsudin.
Kesan daripada
penurunan ketara dalam harga ekuiti global dan polisi peruntukan
rosot nilai yang konservatif selaras dengan amalan terbaik
perakaunan, KWSP telah memperuntukkan sebanyak RM4.69 bilion
pada 2008 untuk rosot nilai pelaburan ekuiti dalam dan luar
negara, berbanding hanya RM0.52 bilion pada 2007. Daripada
jumlah peruntukan 2008, sebanyak RM3.20 bilion diperuntukkan
untuk ekuiti luar negara.
“KWSP telah melabur dalam syarikat yang mempunyai asas kukuh dan
kami yakin peruntukan ini akan dimasukkan semula ke dalam akaun
apabila ekonomi kembali pulih,” kata Tan Sri Samsudin.
Pinjaman dan Bon merupakan penyumbang terbesar pendapatan kasar
pada 2008 mencatatkan pulangan RM6.78 bilion berbanding RM5.91
bilion pada tahun 2007, manakala Sekuriti Kerajaan Malaysia,
penyumbang ketiga terbesar pendapatan, memperoleh pulangan
RM4.94 bilion berbanding RM4.88 bilion pada tahun sebelumnya.
Setakat 31 Disember 2008, jumlah keseluruhan dana pelaburan KWSP
meningkat sebanyak RM28.99 bilion kepada RM342.00 bilion
berbanding RM313.01 bilion pada 2007. Dana ini dilaburkan dalam
instrumen seperti yang diperincikan di
Jadual 2,
Lampiran 1.
Pada 2008, KWSP memerlukan RM3.18 bilion untuk membayar satu
peratus dividen berbanding hanya RM2.89 bilion pada 2007
disebabkan bilangan ahli yang bertambah. Ini bermakna KWSP
memerlukan lebih 9.71 peratus lagi pendapatan bagi
mengisytiharkan satu peratus dividen pada 2008 berbanding tahun
sebelumnya.” (Rujuk
Carta 1, Lampiran 2).
Dividen akan dikreditkan ke dalam akaun ahli pada
23 Mac 2009.
“KWSP bersedia menghadapi tahun 2009 yang lebih mencabar kesan
daripada krisis kewangan global yang masih berterusan.
Bagaimanapun, KWSP yakin di sebalik setiap krisis, masih wujud
peluang yang boleh dimanfaatkan. Apa yang penting adalah KWSP
perlu sentiasa berhati-hati dan terus berusaha memberikan
pulangan untuk faedah semua ahli melalui strategi pelaburan yang
berhemah,” kata Tan Sri Samsudin.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen
terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi
persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan
simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir
urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam
setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP
memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan
ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai
pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan
kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
|