Fungsi Dan Agensi MeCD Ke Lapan Kementerian Lain
Bernama: 15 April 2009
KUALA LUMPUR -
Fungsi-fungsi dan agensi-agensi di bawah Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang telah
dibubarkan, akan diserapkan ke lapan kementerian lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
penyerapan fungsi-fungsi dan agensi-agensi tersebut akan
terus memastikan peranan-peranan utama MeCD sebelum ini akan
terus diberi penekanan oleh Kerajaan.
Ini khususnya bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan
perindustrian Bumiputera, memperluaskan dan mempercepatkan
penglibatan Bumiputera dalam arus pembangunan ekonomi negara,
membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan
koperasi, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perubahan yang dilakukan, fungsi Pembangunan dan
Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor
dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna, katanya.
Beliau berkata Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi
Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia juga turut
dipindahkan ke kementerian tersebut.
Sementara itu, Pembangunan Masyarakat Perindustrian
Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan
Anatarbangsa dan Industri, jelas beliau.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan
ke Jabatan Perdana Menteri, kata beliau.
Pusat Khidmat Kontraktor pula dipindahkan ke Kementerian
Kerja Raya, tambah beliau.
Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan
Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Bhd dan Bank Rakyat
pula dipindahkan ke Kementerian Kewangan, kata beliau.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sementara Tabung Ekonomi
Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) pula ke Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, kata beliau.
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan
University (MAJU) pula dipindahkan ke Kementerian Pengajian
Tinggi, kata beliau.
MeCD dibubarkan berikutan pelantikan anggota-anggota
pentadbiran yang baru pada 10 April lepas.
- BERNAMA
