Malaysia Akan Wujudkan Institusi Kewangan Islam Mega
Bernama: 27 April 2009
PUTRAJAYA - Malaysia akan menjadi negara pertama
mempunyai institusi kewangan Islam mega dengan modal
berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion.
"Dalam persekitaran ekonomi semasa, tiada institusi kewangan
sedemikian. Malah, tidak ada di mana-mana dalam dunia," kata
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kepada
pemberita di sini isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan langkah-langkah penting untuk meliberalisasikan
sektor kewangan.
Ia termasuk dua lesen perbankan Islam baharu akan ditawarkan
kepada peserta asing tahun ini dengan modal berbayar
sekurang-kurangnya AS$1 bilion.
Menurut Zeti, bank-bank berkenaan adalah untuk perniagaan
antarabangsa.
"Kriterianya ialah bagi modal berbayar sebanyak AS$1 bilion.
Oleh itu, perniagaan perlu antarabangsa, dari mana-mana
bahagian dalam dunia bagi mewajarkan paras permodalan,"
katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan dua
lesen perbankan perdagangan baharu akan diberikan kepada
peserta asing yang dapat membawa masuk profesionalisme dalam
bidang khusus dan menyumbang dengan ketara kepada
pembangunan negara.
Mengenai jenis pengkhususan yang diharapkan, Zeti berkata
produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkan belum
signifikan di Malaysia, seperti dalam infrastruktur,
pertanian dan teknologi.
Bagi semua lesen yang diberikan pada 2009 permohonan perlu
sebelum 31 Okt dan jika berjaya, operasi perdagangan boleh
bermula pada 2010.
Sementara itu, BNM dalam satu kenyataan berkata pemegang dua
lesen baharu perbankan Islam itu mesti diperbadankan di
Malaysia dan akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
Bank-bank Islam baharu akan dilesenkan di bawah Akta Bank
Islam 1983.
Bank itu boleh mempunyai kepentingan ekuiti asing sehingga
100 peratus.
Bagi pengendali takaful keluarga baharu akan didaftarkan di
bawah Akta Takaful 1984. Modal diterbitkan dan modal
berbayar minimum kekal RM100 juta.
Menurut BNK, kriteria berikut akan digunakan apabila menilai
merit permohonan:
* Pemohon hendaklah sebuah institusi kawal selia yang
berwibawa atau pemegang saham institusi kawal selia yang
berwibawa, dan
* Pemohon hendaklah mempamerkan, melalui rancangan
perniagaan yang menyeluruh, bahawa institusi berlesen baharu
yang dicadangkan untuk ditubuhkan di Malaysia atau rakan
kongsi asing yang ingin memiliki kepentingan ekuiti bank
Islam domestik yang sedia ada, seharusnya mempunyai
kepakaran dan sumber yang perlu yang boleh memanfaatkan
pasaran kewangan Islam global dan akan memperkukuh kedudukan
Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
Rancangan perniagaan tersebut harus merangkumi perkara yang
memberikan manfaat besar, yang antara lainnya ialah:
* Bidang kepakaran khusus dengan perincian mengenai cara
produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tersebut akan
mempertingkat kedalaman dan keluasan pasaran;
* Iltizam untuk membangunkan modal insan dan keperluan
infrastruktur untuk operasi yang teguh di Malaysia; dan
* Rancangan mantap mengenai cara untuk memperluas operasi
bagi pengembangan serantau dan antarabangsa.
- BERNAMA
