Liberalisasi Bantu Negara Jadi Hab Kewangan Islam, Kata Muhyiddin
Bernama: 27 April 2009
JOHOR BAHARU -
Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan bukan hanya penting
kepada perkembangan ekonomi negara malah dapat membantu
usaha menjadikan negara ini sebagai hab kewangan Islam, kata
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita telah bersedia...lebih lagi kalau Malaysia mahu
menjadi hab kewangan Islam di mana potensinya bernilai
trilion dolar," katanya.
Menurutnya, Bank Negara telah mengadakan kajian yang
mendalam mengenai liberalisasi itu dan kerajaan yang telah
diberikan taklimat pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara
tidak melihat sebarang masalah yang akan timbul dalam sektor
tersebut.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
pengumuman mengenai liberalisasi perkhidmatan kewangan di
negara ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
di Putrajaya Isnin.
Timbalan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas melakukan
upacara pecah tanah projek perumahan untuk penempatan
penduduk Kampung Skudai Kiri di tanah seluas 15.21 hektar di
Bandar Uda Utama, 12 kilometer dari pusat bandar raya.
Tanpa liberalisasi kewangan itu dan liberalisasi sektor
perkhidmatan yang diumumkan beberapa hari lepas, Muhyiddin
berkata Malaysia akan terus ketinggalan.
Malah pada masa ini, di peringkat 10 negara Asean, negara
berada di tempat kelapan, lebih terkebelakang daripada
Myanmar.
"Sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 52 peratus kepada
KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara sedangkan negara
lain sudah mencapai 60-76 peratus sumbangan kepada KDNK
mereka," katanya.
Beliau menolak tanggapan bahawa kemasukan syarikat-syarikat
asing akan menenggelamkan syarikat-syarikat tempatan khasnya
syarikat bumiputera dengan perlaksanaan liberalisasi itu.
Menurutnya, syarikat tempatan dan bumiputera kini sudah
bersedia serta berkemampuan untuk bersaing dan tidak harus
dipandang rendah kerana banyak di kalangan mereka malah
lebih maju berbanding syarikat asing di mana ada yang telah
ke Dubai, Kuwait, India, China dan Pakistan.
"Liberalisasi ini akan memberi peluang bagi syarikat
tempatan dan bumiputera yang berkemampuan untuk bekerjasama
dengan syarikat asing," katanya.
Menurutnya lagi, segelintir pihak yang masih ragu dengan
langkah tersebut harus membuka minda mereka dan melihat dari
konteks penguasaan ekonomi yang lebih besar yang membawa
manfaat yang besar kepada usahawan dan negara.
Muhyiddin juga berkata pembangunan projek perumahan akan
terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan
hartanah negara tanpa meminggirkan mana-mana lapisan
masyarakat.
Sementara itu, pembangunan penempatan baru tersebut
melibatkan pembinaan lapan blok rumah pangsa mampu milik
bersaiz 78.97 meter persegi dan empat blok bersaiz 69.68
meter persegi yang akan dibangunkan oleh Uda Holdings Berhad.
Pembinaan dijangka dimulakan pada pertengahan Ogos tahun ini
dengan keseluruhan unit sebanyak 1416 buah dan akan siap
dalam tempoh 24 bulan.
Kawasan riadah, padang bolasepak, surau, kedai, gelanggang
takraw dan dewan bacaan akan turut dibina bagi kesejahteraan
penduduk.
Sebanyak 682 keluarga dari Kampung Skudai Kiri dan 500
keluarga dari Kampung Usaha Jaya akan menerima manfaat
daripada pembinaan rumah pangsa tersebut.
- BERNAMA
