BERITA MUAMALAT

TERKINI DI

LAMAN UTAMA

 

ARKIB

BERITA/ARTIKEL

 

Pewarisan Harta

(Wasiat, Hibah, Pusaka)

 

Perlindungan Harta

(Takaful/Insuran)

 

Pengembangan Harta

(Bursa Saham, Unit Amanah)

 

Penyucian Harta

(Zakat, Haji, Umrah, Wakaf)

   

Langkah BNM Beri Manfaat Kepada Ringgit

Bernama: 2 Mei 2009

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka mendapat manfaat daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar faedah, suatu langkah yang dianggap sebagai tanda positif bahawa ekonomi tempatan stabil.

"Ini berita baik daripada bank pusat itu. Langkah BNM ini menunjukkan kebimbangan tentang ekonomi kita semakin berkurangan. Orang akan mula melabur semula," kata seorang peniaga tempatan.

Beliau menjangka ringgit diniagakan pada paras 3.58/59 minggu depan ekoran sedikit pengambilan untung pada awal minggu.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit mencecah paras tahap tertinggi dalam tiga minggu pada 3.5570/5620 berbanding dolar AS daripada 3.5800/5850 Jumaat lepas setelah turun berikutan kebimbangan tentang influenza A yang tercetus pada hujung minggu.

Ini membuat pelabur hilang selera terhadap risiko dan membuat pelaburan dalam mata wang selamat seperti yen dan dolar, katanya.

Tetapi menjelang akhir minggu, ringgit beroleh momentum apabila selera terhadap risiko kembali ekoran tanda-tanda kelembapan ekonomi global semakin reda dan influenza A tidak begitu menjejaskan ekonomi.

Kata beliau kenaikan ringgit sejajar dengan kenaikan saham tempatan.

Penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) meningkat 2.41 peratus atau 23.28 mata dan mengakhiri dagangan hari ini pada 990.74, setelah dibuka 5.97 mata lebih tinggi pada 973.43.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.4076/4143 daripada 2.4004/4060 Jumaat lepas tetapi meneguh berbanding yen Jepun kepada 3.6422/6496 daripada 3.6900/6963 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu susut berbanding pound sterling kepada 5.2907/2995 daripada 5.2365/2449 Jumaat lepas tetapi naik berbanding euro kepada 4.7379/7460 daripada 4.7424/7505 sebelumnya.

- BERNAMA

Ke atas