| |
Model Ekonomi Baru Untuk Malaysia, Kata Najib
Bernama: 2 Mei
2009
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan satu model
ekonomi baru untuk negara yang antara lain berteraskan kepada
peningkatan produktiviti pekerja yang bermatlamat membantu mereka
meningkatkan pendapatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberikan skop kerja kepada
majlis ekonomi yang akan ditubuhkan, yang terdiri daripada pakar-pakar
ekonomi termasuk dari luar negara, untuk mencadangkan satu model ekonomi
yang baru untuk negara.
Katanya model ekonomi itu juga akan menggariskan bagaimana Malaysia
boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara yang
berada pada peringkat pendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan
tinggi.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peningkatan produktiviti
pekerja bukan sahaja melalui sumbangan daripada segi waktu kerja
tambahan tetapi juga melalui penambahan inovasi dan kreativiti di
kalangan pekerja.
"Kalau kita menekankan ini, kita dapat menentukan tahap pengeluaran yang
lebih tinggi lagi, bukan kenaikan tetapi lonjakan berganda daripada segi
daya pengeluaran kita.
"Sebab itu bila kita mencapai keadaan sedemikian maka kita boleh memberi
gaji yang lebih besar kepada pekerja," katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan amanat khas di Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium
Putra Bukit Jalil di sini, Sabtu.
Najib berkata demikian ketika diminta menghuraikan amanatnya di
perhimpunan itu yang antara lain menyentuh mengenai model ekonomi baru,
tabung pemberhentian pekerja dan usaha menambahbaik Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengenai model ekonomi baru itu, Najib berkata setiap perusahaan di
negara ini, sama ada melibatkan sektor swasta, syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) mahupun syarikat-syarikat kerajaan, mereka mesti melihat
bagaimana untuk terus meningkatkan kemahiran pekerja melalui inovasi dan
kreativiti.
Ini boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan seterusnya
meningkatkan pendapatan pekerja yang akhirnya memakmurkan lagi negara,
katanya.
"Inilah model yang saya tekankan. Satu model ekonomi baru yang akan
memberi faedah kepada pekerja dan negara kita akan memiliki daya saing
yang lebih dan memacu kemajuan lebih besar.
"Kita tidak akan membenarkan negara berada di takuk sediakala. Tetapi
kita mesti mencari jalan bagaimana kita boleh mengubah dan menganjakkan
supaya Malaysia menjadi sebuah negara "high income" (pendapatan tinggi)
dalam masa tertentu.
"Inilah hasrat kerajaan. Kita sama-sama (akan) mendukung konsep dan
kaedah yang perlu dilakukan supaya cita-cita (ini) menjadi realiti,"
katanya.
Mengenai tabung pemberhentian pekerja, Najib berkata Kementerian Sumber
Manusia sedang meneruskan perbincangan dengan semua pihak.
"Dan apabila kementerian sudah bersedia, (mereka) akan membuat cadangan
kepada jemaah menteri (untuk tindakan selanjutnya)," katanya.
Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat gesaan agar
kerajaan mewujudkan segera tabung itu dengan kerajaan menyumbangkan
RM500 juta. MTCU sudah membuat tuntutan lebih 10 tahun untuk penubuhan
tabung itu.
Mengenai penambahbaikan kepada KWSP, Najib berkata perkara itu sedang
dalam kajian kerana kebanyakan pekerja di negara ini mengalami kesulitan
kewangan sebab jumlah yang diterima adalah terhad, manakala jangka hayat
rakyat Malaysia kini mencecah antara 73 dan 76 tahun.
Katanya kajian KWSP menunjukkan bahawa 70 peratus pencarum menghabiskan
caruman simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga 10 tahun.
"Jadi kita kena cari jalan bagaimana pembayaran itu boleh dibuat
berdasarkan annuiti atau bulanan. Dengan itu kita dapat menjamin
perlindungan kepada pekerja-pekerja kita," katanya.
Dalam amanatnya di hadapan lebih 10,000 pekerja, Najib berkata semua
pihak perlu mengekal dan mempertahan iklim perusahaan harmoni yang wujud
di negara sekarang kerana hubungan yang baik antara majikan dan pekerja
merupakan satu daripada asas penting menentukan kejayaan Malaysia.
Katanya, adalah penting hubungan majikan-pekerja diasaskan sesuai dengan
prinsip pemuafakatan, saling faham memahami dan yakin meyakini, kerana
jika hubungan ini diasaskan kepada sikap konfrontasi maka keadaan yang
lazim berlaku di negara lain termasuk negara maju seperi mogok mungkin
boleh berlaku di sini.
"Jika keadaan ini (konfrontasi) diamalkan maka ekonomi itu akan musnah
dan jika musnah yang terjejas bukan sahaja pihak majikan tetapi pekerja,
malahan rakyat negara itu akan menderita kerana keadaan eknomi negara
itu terjejas," katanya.
Dalam konteks yang lebih menyeluruh pula, Najib berkata hubungan
bersifat tiga segi, majikan, pekerja dan kerajaan perlu berasaskan
kepada saling bantu membantu antara satu sama lain untuk membolehkan
negara mencapai kejayaan lebih hebat pada masa depan.
"Majikan perlu memahami aspirasi pekerja dan pekerja pula perlu
menyumbang dengan penuh dedikasi manakala kerajaan pula menjalankan
tanggungjawab melalui dasar-dasar positif merangsang ekonomi," katanya.
Najib berkata tindakan majikan untuk sentiasa memastikan kos
produktiviti berada di tahap rendah, tidak seharusnya menjejaskan
pekerja dari segi peningkatan pendapatan mereka.
"Jika ini berlaku, pekerja tidak akan mendapat penilaian pada sumbangan
mereka," katanya.
Najib juga menggesa majikan di negara ini seperti restoran dan industri
kecil dan sederhana menawarkan suasana dan syarat kerja yang lebih baik
bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor ini.
Katanya kini ada lebih dua juta pekerja asing di negara ini.
"Harap jangan cari jalan mudah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat
negara lain kerana upah murah. Beri peluang kepada anak-anak tempatan,"
katanya.
Perdana Menteri berharap tahap pengangguran akan berada di tahap minimum
dan kerajaan akan terus berusaha mewujudkan peluang pekerjaan.
Katanya kadar pengangguran mungkin akan meningkat dari 3.1 peratus pada
tahun lepas kepada empat peratus tahun ini berikutan kemelesetan ekonomi
global.
- BERNAMA
Ke atas

|
|