|
BERITA MUAMALAT
TERKINI DI
LAMAN UTAMA
ARKIB
BERITA/ARTIKEL
Pewarisan Harta
(Wasiat, Hibah, Pusaka)
Perlindungan Harta
(Takaful/Insuran)
Pengembangan Harta
(Bursa Saham, Unit Amanah)
Penyucian Harta
(Zakat, Haji, Umrah, Wakaf)
|
| |
Zakat
berkesan basmi kemiskinan
Oleh: Abdurrahman Haqqi
Berita Harian – 7 Oktober 2007
DI
SAMPING kesibukan umat Islam berpuasa dengan amalan mencari habuan malam
Lailatulqadar pada penghujung Ramadan ini, satu lagi kewajipan yang
hanya berlaku pada bulan mulia ini ialah zakat fitrah.
Yang kaya memikirkan kepada siapa yang akan diberikan zakat fitrahnya
manakala yang miskin memikirkan bagaimana mereka boleh menerima zakat
fitrah itu untuk keperluan meraikan Aidilfitri minggu depan.
Kedua-dua golongan ini mengharapkan agar ibadah puasa mereka pada tahun
ini diterima Allah Azza wa Jalla.
Prof
Yusuf al-Qaradawi dalam tesis PhD beliau pada 60-an bertajuk Fiqh al-Zakat
yang kemudian menjadi buku rujukan zakat semasa dan dicetak lebih
daripada 30 kali, mengatakan bahawa syariat Islam sebenarnya mempunyai
objektif akhlak dan pendidikan yang jelas di sebalik kewajipan membayar
zakat fitrah, baik terhadap orang kaya atau orang miskin.
Objektif itu untuk melatih orang Islam menyumbang sama ada dalam keadaan
senang atau susah. Dalam al-Quran sendiri Allah menyifatkan orang
bertakwa itu ialah orang yang ‘menafkahkan (hartanya) baik pada waktu
lapang mahupun sempit’. (Surah Ali ‘Imran: 134) Dengan latihan berkenaan,
orang Islam walau bagaimana miskin sekali pun akan bersikap suka
menyumbang dan sentiasa merasai kemanisan memberi sumbangan dan
mengutamakan kebajikan orang lain. (Rujuk II/930)
Penduduk Muslim di dunia dianggarkan berjumlah 1.3 bilion. Secara
kasarnya, jika nisbah orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah di
kalangan mereka 90 peratus, maka jumlah mereka ialah 1.17 bilion. Perlu
dicatat di sini bahawa zakat fitrah adalah zakat badan atau diri bukan
zakat harta, oleh itu jumlah yang wajib zakat adalah ramai kerana hampir
semua umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah. Syarat wajib zakat
fitrah adalah memiliki lebihan keperluan untuk Aidilfitri.
Secara
kasarnya, jika purata kadar zakat fitrah umat Islam adalah RM5 maka wang
zakat fitrah yang dikumpulkan sepanjang Ramadan ini adalah sebanyak
RM5,850,000,000.00, iaitu hampir RM6 bilion.
Jumlah wang ringgit yang signifikan daripada umat yang selalu dikatakan
oleh Barat sebagai bangsa yang miskin dan mundur padahal ia hanya
dikumpulkan dalam masa satu bulan.
Kemudian kutipan wang zakat fitrah itu mesti diagihkan dalam sehari pada
Aidilfitri di mana setiap orang yang berhak menerima zakat fitrah
daripada baki jumlah seluruh umat Islam yakni 130 juta orang akan
menerima RM45.
Dalam sebuah hadis maksudnya: “Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah
iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang
merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan umat
Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunaikan sebelum orang ramai
keluar pergi menunaikan sembahyang.” – (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat lain maksudnya: “Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah
sebagai penyucian terhadap orang berpuasa daripada perkara buruk dan
tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir miskin.” – (Hadis
riwayat Ibn Majah)
Bukankah umat Islam umat yang kaya? Bukankah umat Islam umat yang
berada? Bukankah umat Islam umat yang sejahtera? Bagaimanapun apa yang
berlaku, mengapa umat Islam masih dikatakan umat yang miskin? Mengapa
umat Islam masih dikatakan umat yang papa? Mengapa umat Islam masih
dikatakan umat yang daif?
Padahal contoh kira mengira di atas adalah hanya untuk satu jenis
kewajipan zakat iaitu zakat fitrah yang wajib dikeluarkan pada Ramadan.
Bagaimana dengan seluruh harta umat Islam yang wajib dizakat seperti
haiwan, tumbuh-tumbuhan, emas dan perak, perniagaan dan lain-lain? Sudah
tentu agak sukar mengiranya kecuali jika pengelolaan zakat
diinstitusikan menjadi suatu badan pengelola zakat profesional yang
disesuaikan dengan keperluan semasa. Itulah yang dicadangkan Malaysia
dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan ia sepatutnya dijadikan
agenda utama umat Islam pada hari ini demi mencipta kesejahteraan di
kalangan umat Islam dunia.
Pada zaman kekhilafahan Islam berabad-abad lamanya pengelolaan memungut
dan mengagih zakat berada di bawah jabatan yang dikenal sebagai
al-Jibayah, petugasnya disebut al-Jabi. Dalam Bab 11 kitab al-Ahkam
al-Sultaniyyah, al-Mawardi (w. 405H) menjelaskan secara terperinci tugas
dan tanggungjawab jabatan ini serta prosedur pelaksanaannya.
Beliau mengatakan bahawa apabila pengurus zakat dilantik maka
pelantikannya boleh dilakukan dalam tiga cara iaitu untuk menerima zakat
dan membahagikannya; untuk menerima zakat dan dilarang untuk
membahagikannya; dan pelantikan tidak terikat dengan pengertian dia
tidak diarah untuk membahagikannya dan tidak dilarang daripadanya.
Syarat yang harus ada dalam pelantikan pengurus zakat ialah seorang yang
merdeka, Islam, adil, dan mengetahui hukum hakam zakat.
Zakat adalah wajib ke atas harta yang disimpan yang layak dimaju dan
dikembangkan. Sama ada dengan sendirinya atau melalui usaha. Ia adalah
penyucian kepada pemiliknya serta bantuan kepada mereka yang berhak
menerimanya.
Harta zakat ini terbahagi kepada dua jenis iaitu harta zahir dan harta
batin. Yang pertama disebut adalah harta yang tidak dapat disembunyikan
seperti tanaman, buah-buahan dan ternakan manakala yang kedua disebut
adalah harta yang boleh disembunyikan seperti emas, perak dan barang
perniagaan.
Dalam hubungan ini pengurus zakat tidak berhak memungut zakat harta
batin sebaliknya yang empunya harta itu berhak ke atas hartanya kecuali
jika yang empunya harta itu mahu mengeluarkannya dengan secara sukarela,
maka pengurus zakat menerimanya daripada mereka dan pembahagiannya
adalah menjadi pertolongan kepada mereka.
Bidang tugas pengurus zakat adalah terhadap harta zahir iaitu dengan
mengarah pemiliknya mengeluarkan zakat kepadanya. (Terj. hal. 192-193)
Kemiskinan adalah suatu masalah asas yang dihadapi oleh setiap
masyarakat. Oleh sebab itulah, zakat diwajibkan supaya pihak negara
dapat mengutip dan membahagi serta mengagihkannya. Dengan itu dapatlah
dibantu mereka yang fakir dan miskin serta orang lain dengan tujuan
meninggikan taraf hidup di kalangan seluruh anggota masyarakat.
Ini
bertujuan agar setiap anggota masyarakat itu tidak menderita disebabkan
kepapaan dan kemelaratan.
Dr Al-Jammal berkata, dengan menjalankan pungutan zakat, maka negara itu
berusaha menegakkan keadilan sosial dan mendekatkan jurang perbezaan di
antara golongan yang berada dengan yang tidak berada. Zakat juga
dipandang sebagai suatu jalan dalam membina dan menegakkan sebuah
masyarakat berdasarkan kasih sayang, rasa setia kawan, dan
tolong-menolong. Ini disebabkan zakat itu dapat menghilangkan rasa
benci, dendam dan dengki yang memenuhi hati orang yang tidak berpunya.
Dengan demikian, akan terbentuk sebuah masyarakat yang bahagia dengan
keadaan anggotanya saling bantu membantu, bersaudara dan saling kukuh
mengukuh serta hormat-menghormati dan kasih mengasihi. (Ensiklopedia
Ekonomi Islam, I/252)
Adalah wajar diperhatikan bahawa kedudukan zakat sebagai rukun keempat
Islam memberi pengertian yang mendalam sekali, terutama kepada
masyarakat Islam yang mahu kembali semula maju bersama Islam. Ia
menggambarkan bahawa pembahagian rezeki secara adil adalah agenda utama
pembinaan Islam dalam masyarakat.
Sebagai salah satu daripada rukun Islam yang lima, zakat mempunyai latar
belakang yang kuat dalam pembinaan Islam sebagai satu keseluruhan.
Berdasarkan latar belakang ini, zakat boleh disifatkan secara mudah
sebagai tonggak kewangan dan sosial dalam Islam. Bersama akidah dan
sembahyang, ia boleh memberi gambaran yang jelas terhadap kerangka Islam
yang sebenarnya walaupun belum begitu sempurna.
Bagaimanapun, sebagai asas kepada Islam ia tidak boleh terlepas daripada
sifat sebagai ibadat. Dalam konteks ini, zakat adalah sebahagian
daripada ibadat utama Islam, selain sembahyang, puasa, haji, jihad dan
sebagainya.
Disebabkan itulah zakat tidak hanya diperkatakan oleh fuqaha dalam satu
bab saja, tetapi dalam banyak bab. Ia disebut dalam bab ibadat, bab
kehartaan, sosial, kebajikan, pemerintahan dan sebagainya. Ia juga
membabitkan lebih daripada 40 ayat al-Quran dan lebih daripada 170 hadis
dan mendapat ulasan yang meluas daripada pentafsir al-Quran dan pengulas
hadis. (Lihat Mahmood Zuhdi, Pengurusan Zakat, 17)
Jika kita perhatikan ayat al-Quran kita akan dapati bahawa berbanding
dengan masalah menentukan sumber zakat, dalam masalah pengagihan zakat,
al-Quran bersikap lebih memperincikan arahan. (Baca ayat 60 surah
al-Taubah). Kemungkinan berlaku penyelewengan dan penggunaan hawa nafsu
dalam mengagihkan zakat lebih besar daripada kemungkinan yang sama dalam
menentukan sumber dan memungut zakat daripadanya.
Dalam kebanyakan ayat al-Quran yang menyebutkan zakat ia selalu bersama
dengan mendirikan sembahyang. Ia membuktikan kepada kita betapa
kedua-duanya berkaitan yang tidak boleh berjauhan bahkan
dipisah-pisahkan.
Jika umat Islam di seluruh dunia banyak memberikan perhatian lebih
kepada sembahyang dengan mendirikan banyak baitullah yakni masjid di
merata tempat, mengapa kita juga tidak memberikan perhatian lebih kepada
zakat dengan mendirikan rumah zakat yakni baituzzakah di mana-mana agar
ia mudah dicapai oleh pemberi dan penerima zakat?
Jika al-Quran dalam menyebut kewajipan mendirikan sembahyang selalu
diikuti dengan pengeluaran zakat, mengapa kita tidak ikutkan juga
pembangunan baituzzakah di setiap masjid? Masjid didirikan sebagai
tempat sembahyang demi mencapai kesejahteraan akhirat, maka baituzzakah
didirikan demi mencapai kesejahteraan umat di dunia yang fana ini.
Bukankah demikian? Ramadan Karim.
Ke atas

|
|
|
|
|
|