| |
Ibadat
Haji didik jiwa menghargai alam
Sumber: BERITA
HARIAN
SEMALAM jemaah haji sedang berwukuf di
Arafah, menyempurnakan salah satu Rukun Haji. Ketika berwukuf jemaah
haji diwajibkan berihram dengan memakai dua helai kain tidak berjahit
bagi lelaki. Wukuf di Arafah adalah syiar Islam yang menyaksikan
kehadiran jutaan jemaah tanpa mengenal pangkat, darjat, harta dan usia
melafazkan talbiah dan kalimah taubat.
Sepanjang menunaikan ibadat haji, terserlah pelbagai pengajaran dan
hikmah untuk membolehkan umat Islam berjaya di dunia dan akhirat. Antara
lain, jemaah haji dididik supaya lebih bertakwa sekali gus menjana minda
lestari.
Makna
minda lestari dalam konteks Islam Hadhari ialah fikiran, anutan dan
fahaman proaktif dengan meletakkan ekosistem dan seluruh komponen kosmos
pada kedudukan sesuai dengan tabii kejadiannya.
Sebagai
contoh, sumber hutan perlu diurus selestarinya - sama ada pembalakan,
penerokaan sumber asli atau eko-pelancongan - tanpa menjejaskan peranan
hutan sebagai pengimbang ekosistem dari segi kepelbagaian biologi,
penyerap gas karbon dan penyejuk suasana.
Sepanjang ibadat haji, proses penjanaan minda lestari berlaku
sekurang-kurangnya menerusi tiga amalan penting.
Pertama, menerusi kewajipan berihram. Selepas berniat haji, lebih tiga
juta jemaah haji bergerombolan meninggalkan Makkah untuk wukuf di Arafah,
kemudian mabit di Muzdalifah, melontar jamarat, bermalam di Mina,
dituruti tawaf di Baitullah dan saei antara Safa ke Marwah, diakhiri
dengan bercukur.
Pakaian
ihram adalah simbol kesucian diri dan keputihan jiwa, sesuai dengan
fitrah insaniah. Pakaian ihram juga adalah simbol betapa mudahnya
keperluan hidup duniawi dalam perjalanan menuju destinasi akhirat.
Ketika berihram, jemaah wajib meninggalkan 13 larangan bertujuan
mengawal hawa nafsu dan keinginan bersifat haiwani.
Larangan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu mengawal jiwa supaya
tidak terpesona dengan keindahan duniawi, mengawal nafsu seksual dan
melestarikan alam sekitar.
Ketika berihram, jemaah dilarang memakai wangi-wangian, pakaian
bersarung, menutup kepala dan muka, menggunting kuku, memakai minyak
rambut, mengerat kuku dan rambut atau bulu, serta bersarung tangan.
Larangan itu adalah simbolik betapa manusia sama taraf di sisi Allah.
Faktor pembeda bukan kecantikan paras, pangkat, darjat atau kekayaan,
tetapi tahap ketakwaan.
Proses penjanaan minda lestari juga berlaku ketika perjalanan ritual
penuh simbolik bermula dari Makkah ke Mina, kemudian ke Arafah, kembali
ke Mina dan berakhir di Makkah. Sepanjang perjalanan itu, jemaah haji
sentiasa berzikir dan bertalbiah membesarkan Tuhan Pencipta Alam.
Pada saat ini terasa betapa kerdil dan lemahnya manusia sehingga ada
jemaah keletihan dan tidak bermaya biarpun menggunakan bas dengan jarak
perjalanan tidak jauh. Apatah lagi untuk mengelilingi cakerawala ciptaan
Tuhan Maha Besar!
Ketika berihram, jemaah haji dilarang memotong, menebang, mengerat atau
mencabut tumbuhan. Begitu juga memburu binatang buruan yang halal
dimakan, apatah lagi membinasakannya. Larangan itu, antara lain, adalah
simbolik untuk mendidik jemaah haji supaya melestari alam sekitar
sebagai Kitab Tersirat yang menyerlahkan keagungan Tuhan Maha Bijaksana.
Dalam konteks lebih luas, tidak terhad ketika berihram, umat Islam
ditegah melakukan amalan bukan lestari lain yang boleh mencemarkan air,
udara, tanah dan komponen ekosistem. Kemuncaknya, larangan itu
sepatutnya mendorong kita mengurangkan tahap penggunaan dan
kebergantungan kepada sumber alam yang ketika ini semakin pupus.
Kedua, minda lestari juga terbina menerusi ibadat korban. Secara ritual
dan prinsipnya, ibadat korban ialah penyembelihan binatang pada hari
tasyrik. Ibadat ini tidak khusus kepada jemaah haji dan boleh dilakukan
di mana saja, dan tidak terhad kepada binatang.
Nabi Ibrahim AS diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS.
Pengorbanan juga membabitkan jiwa, harta, kedudukan dan kemewahan
semata-mata mencari keredaan Allah. Ibadat haji juga mendorong kita
berkorban untuk meringankan bebanan masyarakat menerusi pelbagai cara,
misalnya membantu mereka dalam kesusahan dan musibah.
Selain itu, pengorbanan juga merangkumi langkah mengurangkan risiko hal
yang memudaratkan. Secara teknikal, ia disebut pengurusan risiko,
misalnya menerusi pelestarian ekosistem seperti hutan, sumber air dan
mengurangkan pembebasan gas karbon ke ruang udara.
Dalam konteks ini - seperti dianjurkan menerusi hikmah ibadat korban -
pengorbanan membabitkan masa, wang, kepakaran, idea dan keringat untuk
memastikan dasar dan amalan lestari dilaksanakan dalam konteks keluarga,
komuniti, lapangan kerja dan negara.
Ketiga, minda lestari terjana dengan memahami hikmah dan sejarah Makkah
menerusi Nabi Ibrahim AS, anaknya Nabi Ismail AS dan isterinya Hajar. Di
situlah terpancarnya air zam zam menerusi hentakan kaki Ismail, ketika
ibunya kehausan berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari sumber air.
Dengan air zam zam itulah bermulanya kehidupan keluarga Ibrahim dan
tamadun Islam di halaman Kaabah di bumi Makkah.
Sesungguhnya jemaah haji, sebagai tetamu Allah, dididik mengenai
kepentingan sumber air sebagai sumber kehidupan dan asas kemajuan. Oleh
itu sumber air di mana saja, perlu dilestari untuk keperluan jasad,
penyucian diri, pembersihan rohani dan sumber ekonomi.
Pelestarian sumber air bermakna memastikan bekalan air mengalir seadanya
dengan kualiti air bersih dan penggunaannya dioptimumkan tanpa
pembaziran.
Demikian manifestasi di sebalik amalan dan penghayatan ibadat haji dalam
konteks pembinaan minda lestari. Kesannya menyuci dan memutihkan jiwa
seperti putihnya pakaian ihram.
Impaknya menjernihkan minda seperti jernihnya air zam zam. Dan
kemuncaknya ialah penghayatan hidup penuh taqwa seperti hampirnya diri
kepada Ilahi ketika khusyuk bertawaf mengelilingi Baitullah.
“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Tuhan yang tidak ada
sekutu-Nya. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah
kepunyaan-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu”.
- Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib canselor
(Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.
Ke atas

|
|