|
Lambaian Kaabah
Oleh:
Nasron Sira Rahim
Sumber: Berita Harian
Ibadat
haji punyai sejarah dan simbolik perjalanan hidup manusia
"AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku
menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga
kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang
benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!"
Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap
kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat
tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.
Hati
mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum
dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah
SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya.
Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi
empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah,
bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan
zakat.
Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya (API-UM), Roslan Mohamed, berkata pelaksanaan
ibadat haji melalui sejarah panjang dalam tamadun manusia.
|
 |
"Sejak
zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman
Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan
pada zaman itu.
"Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini
bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada
Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar
al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.
"Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai
rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum
wafat," katanya.
Roslan berkata, pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan
lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada
perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.
Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam
pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat
akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah.
Tawaf dilakukan tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi
Ibrahim memastikan kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata
dengan mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan
malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas
Baitullah (Kaabah).
Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di
padang itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik
memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang
Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau
kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan
amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.
Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia
kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan
isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ
jugalah Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat
Islam.
Saie yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa
isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa
dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika
Makkah belum terkenal.
Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan harapan dapat
melihat air, tetapi tiada. Kemudian dia turun dan menuju ke tempat lain,
iaitu Marwah, tidak ditemui air.
Sampailah tujuh kali dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia
menghampiri Marwah dan mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan
mendapati malaikat menguis tanah dengan sayapnya sehingga keluar air
zam-zam.
Sesetengah pendapat mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan
dua kakinya atau kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga
keluar air zam-zam.
Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha
mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik
amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.
Melontar Jamrah pula berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima
wahyu supaya menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail
ke sebuah lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar
sebagai manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi
Ibrahim kemudian mengusir iblis itu.
Menerusi peristiwa itulah umat Islam kemudian diwajibkan melontar Jamrah
menggunakan batu kecil, sebagai simbol mengusir syaitan dari dalam diri
manusia selain simbolik lain adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan
maksiat dari dalam diri.
Wahyu supaya Nabi Ibrahim menyembelih puteranya itu juga menjadi titik
tolak ibadat korban yang dilakukan sempena haji atau Aidiladha. Seperti
juga semangat dan keimanan Nabi Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud
simbolik betapa manusia itu perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup
berkorban apa saja demi menunaikan perintah-Nya.
FAKTA
Rukun Haji
·
Ihram dan berniat mengerjakan ibadat haji dimulai sesampai miqat (batas-batas
yang ditetapkan).
·
Wukuf di Arafah, iaitu berhenti di padang Arafah sejak tergelincir
matahari 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah.
·
Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
·
Saie iaitu berlari kecil atau jalan cepat antara bukit Safa dan Marwah.
·
Mencukur atau menggunting rambut, sedikitnya memotong tiga helai rambut.
·
Tertib iaitu menjalankan rukun haji secara berurutan.
Ke atas

|