|
Utusan
Malaysia
: 04/03/2009
Kaedah
melupus wang syubhah
Dewasa ini, umat Islam
di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah
yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara
langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui
sumber yang syubhah atau haram.
Perkara ini antaranya
berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi
syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada
hari ini.
Didapati bahawa
sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan
dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki
dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada
simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.
Ada di kalangan
masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan
menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang
membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan
secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?
Pengenalan
Perkataan syubhah
itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar
iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram
dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan
di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih
samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada
ia halal ataupun haram.
Beliau menjelaskan cara
yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah
ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara
yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i
iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.
Dalam perkara ini,
Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah
jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu
ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam
Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam
Terdapat khilaf di
kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram
mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh
disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.
Ada ulama yang
berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum
termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang
berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan
tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin
kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.
Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini
selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk
ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.
Perbuatan tersebut akan
memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong
bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang
ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.
Tindakan ini tergolong
dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara
yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman,
mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan
dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.
(al-Ma'idah: 2)
Dr. Yusuf berpandangan,
apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu
juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada
perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan
miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu
perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam,
penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya
daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.
Dalam hal ini juga,
Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971
menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat
oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang
dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima
oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam
pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan
seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan
kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan
dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".
Wang bercampur aduk antara halal dan haram
Timbul satu persoalan di
sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk
dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam
bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama,
bagaimana ia hendak dijernihkan?
Dalam kaedah fiqh,
terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara
yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".
Menurut kaedah ini,
apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu
perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang
lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang
harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada
sebaliknya.
Dalam hal ini, iaitu
apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram
dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan
mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram
dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.
Apa yang jelas halal
boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti
dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada
pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.
Dengan cara ini, perkara
yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat
dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.
Kesimpulan
Sehubungan itu, menjadi
tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari
perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan
perkara-perkara yang haram.
Dengan tumbuhnya
pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam,
syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat
insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat
Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.
Namun demikian,
sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat
dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram
tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.
Penyerahan kepada
Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan
meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat
Islam.
Oleh
Murid Fadzli Musa
MURID FADZLI MUSA ialah Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf,
Zakat dan Haji (Jawhar). E-mel: mfadzli@jawhar.jpm.my
Ke atas

|