|
Utusan
Malaysia
: 07/03/2009
Manfaat tubuh Lembaga
Baitulmal dan Zakat
LANJUTAN daripada
cadangan yang saya nyatakan dalam rencana minggu lepas berkenaan
penubuhan Lembaga Baitulmal dan Zakat elok rasanya saya terangkan
sedikit sebanyak tentang cadangan ini.
Kita sedia maklum
baitulmal dan zakat diadakan untuk membantu umat Islam. Baitulmal
diberikan tanggungjawab untuk mengurus harta yang telah
dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.
Zakat pula merupakan "cukai"
yang perlu dibayar oleh orang Islam. Kalau kita perhatikan tidak banyak
maklumat yang tersebar tentang baitulmal dan zakat kecuali di Wilayah
Persekutuan dan Selangor maklumat tentang zakat disebar meluas.
Baitulmal selaku wakil
jabatan agama negeri mendapat bahagian mereka dalam pembahagian harta
mengikut hukum faraid dalam kes yang mana pewaris sebenar tidak ada atau
mereka yang menerima bukannya mengikut pewaris yang sepatutnya menerima.
Misalnya seseorang yang
meninggal dunia dan meninggalkan harta tidak mempunyai anak dan
menamakan orang lain, maka saudaranya sebagai pewaris.
Mereka hanya boleh
mendapat satu pertiga sahaja daripada harta tersebut. Suami atau isteri
akan dapat satu pertiga dan baitulmal akan dapat satu pertiga.
Bahagian baitulmal ini
kalau kita andaikan di setiap negeri bernilai RM200 juta, maka untuk 14
negeri jumlahnya bernilai RM2.8 bilion.
Ini adalah nilai harta
yang besar boleh digembleng untuk memberikan manfaat kepada umat Islam
terutama sekali mereka yang dalam golongan miskin tegar.
Apa yang perlu dilakukan
ialah kerajaan-kerajaan negeri memberikan kebenaran (bukan kebenaran
mutlak) untuk ditubuhkan suatu lembaga pengurus sama seperti Tabung Haji
untuk mengurus harta yang diperolehi oleh baitulmal.
Pada waktu yang sama
kutipan zakat juga boleh dilakukan dalam lembaga yang sama supaya tidak
ada sesiapa yang masih lagi tidak jelas tentang tanggungjawab mereka
untuk membayar zakat.
Meluaskan tempat kutipan
dan menyerapkan seberapa banyak maklumat tentang tanggungjawab membayar
zakat boleh dilakukan melalui lembaga yang dicadangkan ini.
Ramai anak muda yang
bekerja tidak faham tentang haul dan nisab dan juga tentang perkakas
yang dibeli dan disimpan dan tidak digunakan langsung yang wajib
dikeluarkan zakat.
Lembaga yang dicadangkan
ini perlu membuat pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang
meletakkan baitulmal di bawah kuasa negeri. Perkara ini boleh dibawakan
kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincang dan dipertimbangkan.
Saya melihat banyak
faedah yang boleh diperolehi daripada penubuhan dan penggabungan
kedua-kedua institusi Islam ini.
Dengan nilai harta RM2.8
bilion, lembaga ini boleh membabitkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi
termasuk bidang rantaian bekalan dan penghasilan makanan halal.
Selain daripada itu
badan ini juga boleh menubuhkan pasar raya yang boleh menjual
barang-barang hasil pengeluaran masyarakat kita yang sukar untuk
mendapatkan ruang jualan di pasar raya-pasar raya besar yang ada
sekarang.
Kita lihat sahaja yang
mampu mengeluarkan barang-barang berasaskan herba berpuluh kalau tidak
pun beratus.
Badan ini juga boleh
menceburi bidang kewangan seperti bank Islam, takaful dan pembrokeran
pelbagai jenis. Bidang hartanah juga wajar disertai dan mungkin turut
serta dalam operasi minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) dan nanoteknologi.
Sebahagian besar
daripada pelaburan boleh dibuat dalam bidang penyelidikan yang mana kita
begitu jauh ke belakang. Mungkin caranya diberikan geran kepada beberapa
universiti untuk melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti
hutan tropika kita yang mempunyai penyelesaian kepada pelbagai penyakit.
Untuk menjaga
kepentingan negeri-negeri dengan sumbangan baitulmal masing-masing
sebuah akta lembaga ini perlu diwujudkan.
Apa jua nilai harta
baitulmal negeri-negeri ini bukannya diserahkan kepada lembaga ini
tetapi dianggap seperti dipinjamkan supaya dapat dilaburkan dengan
memberikan manfaat kepada umat Islam.
Setiap negeri akan
diberikan bahagian keuntungan mengikut nisbah sumbangan masing-masing.
Misalnya kalau untung RM1 bilion dan setengah daripadanya akan
dibahagi-bahagikan.
Negeri yang menyumbang
RM200 juta daripada jumlah keseluruhan RM2.8 bilion akan dapat satu per
empat belas daripada RM500 juta keuntungan.
Tujuan utama cadangan
ini adalah untuk membantu umat Islam yang tidak mampu menyara hidup
mereka, membantu sekolah anak-anak golongan yang tidak mampu
membiayainya sehingga ke peringkat universiti supaya tidak seorang umat
Islam di negara ini yang terpinggir.
Untuk ini suatu
pangkalan maklumat mengandungi mereka yang termasuk dalam golongan ini
dibangunkan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.
Konsep utama pertubuhan
ini ialah pegawai-pegawainya mesti turun padang dan bukan duduk di
pejabat sahaja.
Dato' Salleh Majid ialah
Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga
bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
Ke atas

|