|
Utusan
Malaysia
: 28/04/2009
Ceroboh
tanah wakaf sekat pembangunan
PORT DICKSON 27 April - Pembinaan premis kediaman dan
perniagaan secara haram dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang
membantutkan pembangunan tanah wakaf di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar),
Abd. Ghafar Yusof berkata, pencerobohan itu berlaku di hampir semua
negeri dan halangan besar yang sedang dihadapi pihaknya adalah
keengganan 141 keluarga yang mendiami tanah wakaf seluas 2.83 hektar di
Georgetown, Pulau Pinang untuk berpindah.
''Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIP) bercadang membina
pangsapuri kos rendah dan sederhana di atas tanah itu dan ia boleh
didiami oleh 600 keluarga jika dapat disiapkan,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia
selepas merasmikan Seminar Pembangunan Hartanah Wakaf anjuran Yayasan
Waqaf Malaysia di Mayang Sari Resort dekat sini hari ini.
Abd. Ghafar menambah, majlis agama Islam negeri yang
bertanggungjawab mengurus institusi wakaf juga menghadapi kesukaran
dalam menguatkuasakan arahan agar pihak yang menceroboh tanah wakaf
berpindah daripada tanah berkenaan.
''Majlis agama Islam negeri tidak mempunyai sebarang
peruntukan undang-undang khusus berhubung penguatkuasaan ke atas
pencerobohan tanah wakaf.
''Pada masa ini, tindakan undang-undang hanya boleh diambil
menerusi Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan
kerjasama Pejabat Tanah dan Galian daerah serta pihak berkuasa tempatan,"
katanya.
Dalam pada itu, Abd. Ghafar memberitahu, hanya 0.72 peratus
daripada jumlah keseluruhan tanah wakaf seluas 9,947 hektar berjaya
dibangunkan oleh majlis agama Islam negeri di seluruh negara setakat ini.
Ke atas

|