|
JENIS-JENIS DANA UNIT AMANAH
Terdapat berbagai jenis
Dana Unit Amanah yang perlu diketahui dan difahami oleh para pelabur
sebelum membuat keputusan untuk membeli unit-unit amanah ini. Ini kerana
setiap dana mempunyai objektifnya sendiri bagi memenuhi matlamat
kewangan yang ingin dicapai oleh para pelabur yang mempunyai pelbagai
profil risiko tersendiri terhadap pelaburan.
Dana
Pengembangan dan Pendapatan (Growth & Income Fund)
Dana jenis ini
melaburkan sebahagian besar modalnya dalam sekuriti pasaran saham di
Bursa Saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen pasaran
wang tempatan. Dana jenis ini paling digemari oleh orang ramai kerana
pelabur dapat menikmati pulangan daripada pelaburan mereka menerusi dua
cara iaitu pengembangan modal hasil daripada kenaikan harga unit ataupun
dividen apabila diisytiharkan. Prestasi dana ini sebahagian besar
bergantung kepada prestasi Bursa Saham kerana kebanyakan pelaburan
dibuat ke atas saham-saham yang diniagakan di situ.
Dana Pengembangan atau Dana Pertumbuhan
(Growth Fund)
Dari segi pelaburan
dana, ia menyerupai Dana Pengembangan dan Pendapatan. Perbezaannya hanya
dari segi pulangan di mana dana jenis ini lebih mengutamakan
pengembangan modal berbanding pembahagian dividen. Pelabur yang melabur
dalam dana ini dapat mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi
pengembangan modal terutama apabila pasaran saham meningkat tetapi
pulangan daripada dividen adalah terhad.
Dana Seimbang
(Balanced Fund)
Dana unit amanah jenis
ini adalah gandingan antara Dana Pengembangan dan Pendapatan dengan Dana
Pasaran Wang. Ia secara amnya melabur sebahagian daripada modal di
pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen
pasaran wang. Antara kelebihan Dana Seimbang adalah berupaya memberi
pulangan yang lebih tinggi daripada Dana Pasaran Wang manakala risikonya
pula adalah lebih rendah daripada Dana Pengembangan & Pendapatan.
Pemegang unit dana jenis ini dapat mengharapkan pulangan yang terletak
antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di Bursa Saham.
Dana Pendapatan Seimbang
(Balanced Income Fund)
Dana jenis ini hampir
serupa dengan Dana Seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Apa yang
membezakannya adalah hampir keseluruhan pendapatan yang diperoleh oleh
dana jenis ini dalam sesuatu tahun kewangan dibayar kepada pemegang unit
dalam bentuk dividen. Oleh itu, secara amnya dana jenis ini memberikan
pulangan pengembangan modal yang lebih rendah tetapi pulangan daripada
dividen mungkin lebih menarik berbanding Dana Seimbang.
Dana Islamik atau Dana Syariah
(Islamic/Syariah Fund)
Dana ini menghadkan
pelaburan dana dalam saham-saham dan instrumen pelaburan yang halal
serta berlandaskan prinsip-prinsip syariah sahaja. Bagi memastikan
pelaburan dana tidak melanggar prinsip Islam, setiap dana syariah
dimestikan mempunyai panel penasihat syariah yang terdiri daripada
individu yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman
terutamanya dalam bidang fiqh muamalah.
Panel penasihat syariah ini bertanggungjawab memastikan pelaburan dana
sentiasa menepati prinsip-prinsip syariah dan tidak dibuat dalam
sekuriti syarikat yang mempunyai operasi berteraskan
riba, perjudian, mengeluarkan dan menjual
barangan haram serta mempunyai operasi melibatkan kegiatan yang
mempunyai unsur gharar atau ketidakpastian
seperti perniagaan insurans konvensional.
Dana Pasaran Wang
(Money Market Fund)
Dana jenis ini
menghadkan pelaburannya dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan
sahaja dan tidak membuat pelaburan dalam sekuriti ataupun ekuiti di
bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dana jenis
ini mempunyai risiko paling rendah berbanding dana saham amanah lain
yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan daripada
dana jenis ini juga adalah rendah kerana lazimnya pelaburan dalam
instrumen pasaran wang memberikan pulangan yang rendah berbanding
pelaburan di bursa saham.
Dana Bon
(Bond Fund)
Dana Bon pula
menghadkan pelaburannya dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian
(Private Debt Securities) atau lain-lain
produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan dalam
sekuriti ataupun ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham
amanah yang lain. Dari segi profil risiko dan pulangan pula, ia mirip
Dana Pasaran Wang di mana risiko dan pulangannya lebih rendah daripada
dana saham amanah yang melabur di bursa saham.
Dana Syarikat Kecil Berkembang
(Small Cap Fund)
Dana jenis ini
mendefinasikan dan mengambil kira saiz syarikat di mana modal dana itu
dapat dilaburkan. Sebagai contoh, terdapat dana yang menghadkan
pelaburan dalam sekuriti syarikat yang mempunyai permodalan saham
(market capitalization) tidak melebihi RM800 juta. Dana jenis ini
lazimnya berisiko lebih tinggi berbanding dana saham amanah yang lain.
Ini kerana dana ini melabur dalam sekuriti ataupun ekuiti syarikat kecil
yang sedang berkembang dan selalunya masih belum stabil berbanding
syarikat besar.
Dana Indeks Ekuiti
(Equity Index Tracking Fund)
Dana jenis ini juga
dikenali sebagai dana pasif di mana portfolio dana dirangka supaya
prestasi dana itu seiring dan mencerminkan prestasi sesuatu indeks di
bursa saham. Sebagai contoh, terdapat beberapa dana saham amanah yang
objektifnya adalah bagi mengikut prestasi Indeks Komposit Bursa Saham.
Dana jenis ini membuat pelaburan di beberapa saham (kaunter) yang
terdapat dalam sesuatu indeks.
Dana Modal Dijamin/Dilindungi
(Guaranteed/Protected Fund)
Dana ini bertujuan
memberi jaminan pada modal permulaan semasa melabur buat kali pertama.
Ia bersifat tertutup iaitu selepas selesai satu jangka masa ataupun
apabila sejumlah unit tertentu sudah dibeli, dana ini akan ditutup.
Apabila hendak menjual balik, pelabur kadangkala dikenakan yuran yang
dipanggil exitfee. Apabila pelabur ingin menebus dana sebekum sampai
masa matang, yuran penalti dikenakan.
Dana Global
(Global
Fund)
Seperti namanya, dana
ini cuba memberikan peluang kepada pelabur yang ingin mempelbagaikan
portfolio mereka dari segi negara dan ekonomi yang berbeza dengan
situasi tempatan.
Dana Informasi & Teknologi
(Info and Tech Fund)
Sesuai dengan namanya,
dana jenis ini melaburkan aset dalam ekuiti syarikat industri teknologi
dan informasi seperti infrastuktur internet, pengeluar komputer,
pengeluar semikonduktor dan telekomunikasi.
Dana Hartanah
(Property Trust Fund)
Dana ini agak baru
berbanding dana-dana di atas. Pengurus dana melabur dalam sektor
hartanah dan keuntungan yang diperoleh daripada kenaikan nilai hartanah
serta kutipan sewa. Jangan keliru dengan REIT (Real Estate Investment
Trust), di mana REIT bukan unit amanah sebaliknya ia diniagakan seperti
saham biasa.
Dengan peredaran masa,
pelbagai dana akan direka bentuk dan dijual kepada pelabur. Sebagai
pelabur, kita tidak perlu mengetahui secara mendalam semua jenis dana di
atas, malah mungkin ada di antaranya yang kita tidak akan beli sepanjang
hayat. Apa yang penting adalah, tidak kira apa juga dana, ia besar
kemungkinan salah satu ataupun kombinasi gabungan lima jenis dana
berikut:
-
Dana Pengembangan
- Risiko tinggi maka potensi pulangan tinggi.
-
Dana Pendapatan - Risiko rendah
maka potensi pulangan rendah.
-
Dana Pasaran Wang - Risiko rendah
maka potensi pulangan juga rendah.
-
Dana Bon
- Risiko rendah tetapi
ada situasi membolehkan pulangan menjadi sederhana.
-
Dana Indeks
- Risiko sederhana dan tinggi tetapi kosnya paling rendah.
Ada pelabur yang hanya
menumpukan kepada tiga jenis dana sahaja iaitu dana pengembangan, dana
pendapatan dan dana pasarn wang. Falsafah mereka berdasarkan pada sifat
asas pelaburan iaitu sebarang pelaburan dapat dipecahkan kepada yang
berisiko tinggi, sederhana dan rendah. Ini kerana, lebih sedikit
bilangan dana, maka lebih mudah kita memantau dan memahami
sifat-sifatnya.
Sebagai contoh, katakan
pelabur mempunyai profil risiko sederhana dan berminat melabur RM15,000
dalam unit amanah. Beliau boleh melabur kesemuanya dalam dana seimbang
atau gabungan tiga dana iaitu dana pengembangan (RM5,000), dana
pendapatan (RM5,000) dan dana pasaran wang (RM5,000).
Inilah yang dinamankan
porfolio pelaburan unit amanah yang lebih fleksibel dan mampu memberikan
pulangan yang lebih tinggi daripada membeli hanya satu jenis dana.
Syaratnya, kita sebagai pelabur perlu tahu mengurus dan memantau
portfolio ini sama ada secara sendirian ataupun dengan bantuan penasihat
atau perunding pelaburan.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Skim Pelaburan KWSP |
|
Saya berminat
membuat pelaburan |
|
Kerjaya Perunding PKI - Pelaburan |
| |
 |
|

|
|

|
|