|
APA ITU
DANA UNIT AMANAH ?
Unit Amanah merupakan
suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke
dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional.
Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti,
sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat
ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana
Unit Amanah.
BAGAIMANA UNIT AMANAH BERFUNGSI
Unit amanah
membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit / Pelabur yang
melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak
sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat
Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana
berkenaan.

Operasi sesuatu skim unit amanah itu ditadbirkan oleh satu
dokumen perundangan yang dipanggil Suratikatan. Ia menyatakan tentang
hak dan tanggungjawab Pengurus dan Pemegang Amanah serta hak Pemegang
Unit. Ia juga menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu
harus beroperasi dan diuruskan serta bagaimana menentukan kadar bayaran
yuran.
Dengan pertalian
sedemikian kita dapat simpulkan yang unit amanah direka bentuk bagi
melindungi kepentingan para pelaburnya tidak seperti pelaburan saham
biasa ataupun komoditi.
BAGAIMANA PELABUR MENDAPAT UNTUNG?
Ada dua cara utama
pelabur mendapat keuntungan iaitu melalui pertumbuhan modal dan menjana
dividen. Pertumbuhan modal berlaku apabila nilai porfolio meningkat
diikuti kenaikan nilai unit, dan kita akan mendapat untung jika kita
menjual unit tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada harga semasa
dibeli. Sebaliknya jika nilai porfolio menurun maka nilai unit juga
menurun. Ini tidak bermakna kita sudah rugi kerana ada peluang bagi
harga unit naik semula. Kadangkala ia bergantung pada strategi pelaburan
seseorang. Kejatuhan harga dianggap kebaikan kerana dapat membeli lebih
banyak unit lagi.
Apabila dana mempunyai
pendapatan hasil daripada pelaburan sekuriti yang dibuat, maka
pendapatan dana ini diagih kepada pemegang unit menerusi dividen. Jika
dana itu hanya berjaya menghasilkan pendapatan yang kecil ataupun tiada
keuntungan, dana ini tidak mengeluarkan dividen. Jadi, para pelabur
perlu faham, dividen bukanlah kewajipan tetapi sebaliknya bergantung
pada kemampuan syarikat pengurusan unit amanah sentiasa berusaha supaya
para pelabur menikmati dividen pada setiap tahun. Tetapi, tidak
semestinya dividen itu dibayar dalam bentuk tunai, mungkin dalam bentuk
unit tambahan.
SIAPA MELABUR DALAM UNIT AMANAH?
Secara umumnya, unit
amanah sesuai untuk pelabur yang tidak mempunyai masa atau peluang untuk
melabur dan memantau prestasi pelaburan mereka secara kerap dan tetap.
Melalui dana-dana yang disediakan, mereka mempunyai pilihan pelaburan
yang lebih luas (untuk tujuan kepelbagaian pelaburan) dan, yang lebih
penting, pengurus-pengurus profesional akan menguruskan dana-dana bagi
pihak mereka.
Melabur dalam unit
amanah adalah satu cara yang terbaik dan ideal untuk mendapatkan
pulangan yang baik dalam jangka sederhana dan panjang berbanding
simpanan tunai atau simpanan tetap (fixed deposit).
Di samping itu, risiko juga adalah kurang berbanding melabur terus dalam
saham atau bon, yang mana hanya boleh diperoleh melalui kepelbagaian
portfolio yang benar-benar baik.
KELEBIHAN MELABUR DALAM UNIT AMANAH
1.
Pengurusan Dana Profesional
Pelaburan di dalam dana
unit amanah diurusselia oleh pengurus dana profesional yang memiliki
pengetahuan mendalam mengenai ekonomi dan penyelidikan korporat dan
mengenalpasti pelaburan yang berpotensi. Mereka mempunyai akses kepada
pelbagai bahan-bahan ekonomi dan penyelidikan korporat.
2.
Mempelbagai Peluang
Pelaburan di dalam dana unit amanah menyediakan peluang untuk
melebarkan portfolio pelaburan melalui pelbagai jenis saham dan terbitan
walaupun dengan modal yang kecil.
3.
Memudahkan Transaksi
Menyediakan para pelabur
dengan kaedah yang lebih mudah, lebih selesa dan bebas dari kerumitan
untuk melakukan pelaburan saham berbanding memegang portfolio sendiri di
pasaran saham.
4.
Meminimakan Risiko
Mempelbagaikan portfolio melebarkan pendedahan para pelabur
daripada risiko, menerusi keluasan portfolio saham dan derivatif, yang
mana menawarkan pelbagai jenis risiko yang berbeza.
5.
Kecairan
Pemegang unit boleh
mencairkan kesemua atau sebahagian daripada unit-unit mereka pada
bila-bila masa sepanjang hari perniagaan tanpa sebarang kesukaran.
6.
Potensi Pertumbuhan Modal
Di dalam jangka panjang,
pada amnya potensi pulangan melalui pertumbuhan modal dan pengagihan
pendapatan adalah lebih tinggi berbanding simpanan di bank-bank. Oleh
itu, pelaburan dalam unit amanah boleh digunakan untuk keperluan masa
depan seperti pendidikan anak-anak, persaraan atau menunaikan umrah dan
sebagainya mengikut keperluan masing-masing.
PERBANDINGAN
DENGAN PELABURAN SAHAM & SIMPANAN DI BANK
a.
Pelaburan Unit Amanah dan Pelaburan Saham
Secara umumnya,
pelaburan saham dapat memberikan pulangan terbaik dalam tempoh
jangkamasa panjang tetapi disebabkan harganya boleh turun naik
terutamanya dalam jangkamasa singkat, ia dianggap sebagai pelaburan yang
berisiko. Manakala, bagi pelaburan di dalam unit amanah, risiko telah
dikurangkan disebabkan oleh pelbagaian pelaburan.
b.
Pelaburan Unit Amanah dan Deposit di Bank
Bagi deposit di bank
pula ianya tidak berubah daripada segi nilainya tetapi pulangannya lebih
rendah jika dibandingkan dengan pelaburan unit amanah yang mana walaupun
mempunyai risiko, tetapi dikurangkan dengan pelbagaian pelaburan yang
baik.
|