|
TAKAFUL – KONSEP INSURANS ISLAM
TAKAFUL
merupakan satu konsep insurans berlandaskan Muamalat Islam yang menepati
Syariah. Takaful
berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau
joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara
sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli
dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.
Konsep takaful ini sudah pun
wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia
dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori
oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.
Takaful yang dikenali sekarang
beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan
prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian
dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.
Dalam kontrak takaful, peserta
bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk
membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian
tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur
perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka.
Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur
ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.
Secara prinsipnya, sistem Takaful adalah diasaskan atas semangat
saling bekerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling
bantuan membantu di antara kumpulan-kumpulan peserta.
DALIL KERJASAMA
· Hendaklah
kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa (al-Birr
dan al-Taqwa) dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada
melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah
Al-Maidah, Ayat 2)
DALIL TANGGUNGJAWAB
· Perbandingan hubungan dan perasaan antara Mukmin umpama sebuah badan;
apabila salah satu daripada bahagian merasa sakit, akan terasa seluruh
badan.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
DALIL
SALING MELINDUNGI
· Demi
diriku, yang di dalam kekuasan ALLAH, tiada siapa yang akan masuk Syurga
jika ia tidak melindungi jirannya yang di dalam kesusahan.
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)
Berdasarkan dalil-dalil di atas, para sarjana Islam telah membuat
keputusan bahawa perlunya ada usaha yang bersepadu untuk melaksanakan
konsep Takaful sebagai kaedah yang terbaik untuk menghuraikan keperluan
ini.
UNDANG-UNDANG TAKAFUL
Industri Takaful di Malaysia tertakluk di bawah Akta Takaful 1984, dan
diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Para Pengendali Takaful
perlu mematuhi Syariah, syarat-syarat Berkanun dan Kawal Selia yang
ketat.
|