APA YANG MEMBEZAKAN ANTARA
TAKAFUL DAN INSURANS
Pada kacamata seseorang yang bukan
dari bidang ini, dia akan melihat
tiada perbezaan antara kedua-dua
sistem tersebut. Selepas diteliti,
pada asasnya perbezaannya hanyalah
satu, iaitu sistem takaful
berlandaskan prinsip Syariah. Akan
tetapi, jika diselidiki lebih
mendalam, ternyata ada banyak
perbezaan antara dua sistem ini.
Perbezaan-perbezaan ini boleh
dikategorikan seperti berikut:
1. KONTRAK YANG DIGUNAPAKAI:
Dalam sistem takaful, kontrak yang
digunapakai ialah gabungan kontrak
tabarru’ (derma) dan agensi
(wakalah) atau kontrak berkongsi
keuntungan (mudharabah). Kontrak
dalam insurans pula ialah kontrak
pertukaran (jual dan beli) antara
penanggung insurans dengan pelanggan
(pihak yang diinsuranskan).
2. TANGGUNGJAWAB PEMEGANG POLISI:
Peserta takaful membuat caruman ke
dalam skim dan saling menjamin
sesama sendiri dalam skim ini. Di
bawah sistem insurans, pemegang
polisi membayar premium kepada
penanggung insurans.
3. LIABILITI PENGENDALI TAKAFUL /
PENANGGGUNG INSURANS:
Pengendali takaful bertindak sebagai
pentadbir skim dan membayar manfaat
daripada kumpulan wang para peserta.
Risiko tidak berpindah dari peserta
kepada pengendali takaful. Walau
bagaimana pun, sekiranya berlaku
kekurangan dalam kumpulan wang para
peserta tersebut, pengendali takaful
diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia
memberi pinjaman (tanpa faedah)
untuk menampung kekurangan
berkenaan. Manakala insurans,
penanggung insurans bertanggungjawab
membayar manfaat insurans seperti
dijanjikan dan ini akan dibayar
kepada pelanggan dari wang asetnya.
4. PELABURAN KUMPULAN WANG:
Caruman yang diterima akan hanya
dilaburkan dalam instrumen yang
memenuhi kehendak Syariah. Bagi
syarikat insurans, tiada sebarang
sekatan dalam jenis pelaburan yang
dibolehkan, selain sekatan yang
dikenakan untuk tujuan kehematan.
Di Malaysia, industri takaful
bermula sejak tahun 1985 lagi,
dengan tertubuhnya Syarikat Takaful
Malaysia Bhd, anak syarikat Bank
Islam Malaysia Berhad. Sehingga
kini, terdapat sembilan syarikat
pengendali takaful yang sudah diberi
lesen oleh Bank Negara Malaysia.
Pada tahun 2007, penembusan pasaran
atau 'market penetration' industri
takaful di Malaysia hanyalah 7.2
peratus, berbanding 38.7 peratus
untuk industri insurans. Ini
menunjukkan bahawa industri takaful
mempunyai potensi yang amat luas
yang perlu diterokai.
Perlu diingatkan bahawa ada
perbezaan 'business model' yang
digunapakai oleh pengendali takaful
di Malaysia kini. Dua model yang
dikenali ialah ‘Model Mudharabah’
atau profit/surplus sharing dan
‘Model Wakalah’ atau agency.
Pengendali yang menggunakan model
mudharabah tidak memerlukan
perkhidmatan ejen atau wakil untuk
menjual produknya, tetapi
menggunakan kakitangan syarikat
untuk memasarkan produk-produknya.
Model wakalah menggunakan
perkhidmatan ejen atau wakil takaful
untuk memasarkan produk-produknya.
Terpulanglah kepada pelanggan untuk
memilih produk atau syarikat yang
disenangi.